Hari kedua pembentangan hujah barisan pendakwaan hari ini di Mahkamah Persekutuan menyaksikan peguam dakwa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memperincikan kepada mahkamah tentang maklumat bahan bukti yang digunakan dan diperoleh daripada lokap tempat Anwar ditahan.

“Bahan bukti tersebut ialah berus gigi, tuala dan botol air yang dibawa sendiri oleh Anwar ke dalam lokap.

"Daripada tiga barang tersebut, pakar kimia telah mendapat DNA Lelaki-Y. DNA itulah yang telah melalui proses perbandingan dengan bahan bukti DNA yang didapatkan daripada tubuh Saiful,” ujar Shafee.

Menurutnya, daripada bacaan spektrum yang diperoleh, identiti Lelaki-Y yang dimaksudkan itu adalah kepunyaan perayu (Anwar).

“Bahan bukti itu kesemuanya digunakan Anwar di dalam lokap, dan kita tahu tiada orang lain yang menggunakannya,” kata beliau sambil mengatakan bahawa DNA yang diambil daripada bahan bukti di lokap itu merupakan inisiatif pihak pendakwa.

“Kita lakukan itu kerana Anwar tidak memberikan DNAnya ketika ditahan. Kalau dia beri DNA-nya, (ujian makmal) akan jadi lebih senang. Tapi dia tak beri kerana itu hak dia,” jelas Shafee.

Shafee juga mengulas tentang dakwaan bahawa cara mendapatkan DNA tersebut dibuat dengan cara yang memperdaya dan tidak adil.

“Mereka (peguam bela) mengatakan bahawa kita tahan Anwar di lokap semata-mata untuk mendapatkan DNA, bukan atas sebab siasatan.

“Waktu (penahanan) itu pada waktu tengah malam, dan dia ditahan supaya pegawai penyiasat dapat mengambil keterangan lengkap daripadanya pada jam 8.30 pagi keesokannya. Jam 9.30 pagi dia sudah dibebaskan,” kata Shafee yang menyatakan bahawa prosedur tersebut biasa dilakukan pada orang lain yang ditahan.

“Hal itu membuatkan hakim Mahkamah Tinggi kata, perlu dibuat penilaian semula terhadap keputusan yang ditolak sebelum ini. Sekarang mereka terima balik. Itu yang menjadi isu,” kata Shafee yang masih berbaki 35 peratus hujahan keseluruhannya.

Pada penghujung pembentangan hujah Shafee hari ini, isu keterangan yang diambil Dr Mohamad Osman Abdul Hamid juga menghangatkan suasana. Menurut Shafee, doktor dari Hospital Pusrawi berkenaan didapati tidak memberi maklumat yang benar sepenuhnya.

Sementara itu, Anwar yang ditemui media di ruang legar mahkamah, berkata bahawa beliau optimis hujah pihak pendakwa dapat dipatahkan.

“Kita bercakap tentang bukti saintifik. Saya sangat yakin bahawa pasukan peguam bela saya akan berjaya membuktikan sebaliknya,” ujar Anwar yang sempat mempertahankan hak beliau dalam memilih bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi mengetuai barisan pembelaan.