Skip to main content

Teknologi

Tiada telefon baharu CMF tahun ini akibat lonjakan harga RAM

71758856364_CMF.jpg
Keadaan pasaran semasa menyebabkan kos pengeluaran peranti meningkat dengan ketara berbanding model terdahulu, sekali gus menjejaskan keupayaan syarikat mengekalkan harga mampu milik. -Foto fail
Advertisement

CMF, subjenama kepada syarikat teknologi Nothing, mengesahkan tidak akan melancarkan sebarang telefon pintar baharu pada tahun ini susulan lonjakan harga memori (RAM) di pasaran global, lapor Amanz.

Pengasas bersama Nothing, Akis Evangelidis, berkata keadaan pasaran semasa menyebabkan kos pengeluaran peranti meningkat dengan ketara berbanding model terdahulu, sekali gus menjejaskan keupayaan syarikat mengekalkan harga mampu milik.

Beliau berkata pihaknya sedang membangunkan model pengganti, namun harga memori yang tinggi menyukarkan usaha menghasilkan peranti dengan peningkatan teknologi yang ketara tanpa menaikkan harga jualan.

“Kami sedang mengusahakan model pengganti, namun dengan harga memori ketika ini, kami tidak mampu membina sebuah peranti yang menawarkan peningkatan sebenar pada harga yang munasabah untuk pasaran CMF,” katanya menerusi kenyataan di platform media sosial.

Perkembangan itu menyusul kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei, yang berkata komponen memori kini menjadi antara kos paling tinggi dalam sesebuah telefon pintar, mengatasi pemproses dan skrin paparan.

Menurutnya, komponen memori boleh menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan kos perkakasan peranti.

Dalam pada itu, penganalisis industri melaporkan tekanan rantaian bekalan berpunca daripada peralihan pengeluaran cip memori global bagi memenuhi permintaan tinggi daripada sektor kecerdasan buatan dan pusat data.

Situasi berkenaan dijangka turut memberi kesan kepada pengeluar lain, khususnya dalam segmen telefon pintar bajet dan mampu milik.

 

Must Watch Video

Advertisement