PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh hari ini mencapai kesepakatan untuk menggerakkan mekanisme ASEAN secara lebih agresif dalam usaha mendesak Myanmar menyelesaikan krisis pelarian etnik Rohingya yang berlarutan sekian lama.
Dalam sidang media bersama di Putrajaya pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memanfaatkan pengaruh diplomatiknya melalui ASEAN bagi memastikan proses repatriasi etnik Rohingya dapat dilaksanakan secara selamat dan bermaruah.
Menurut Anwar, isu pelarian Rohingya merupakan beban besar yang dikongsi oleh kedua-dua negara.
Namun, beliau memberikan pengiktirafan khusus kepada Bangladesh yang menanggung tanggungjawab paling besar dalam menyediakan perlindungan kepada jutaan pelarian tersebut.
“Kita akan bekerjasama melalui pejabat Menteri Luar serta mekanisme ASEAN untuk berurusan dengan pihak berkuasa Myanmar bagi menyelesaikan sebahagian daripada isu ini.
“Ia adalah usaha bersama untuk meningkatkan tekanan serta pengaruh dalam mencari penyelesaian terhadap krisis pelarian Rohingya, bukan sahaja yang berada di Bangladesh, malah mereka yang berlindung di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Anwar menyambut ketibaan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada Isnin.
Sementara itu, Tarique merakamkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia dalam memperjuangkan nasib etnik Rohingya yang kini berlindung di negaranya.
Beliau menegaskan bahawa Bangladesh memerlukan sokongan lebih padu daripada komuniti antarabangsa, khususnya menerusi platform serantau seperti ASEAN, bagi memastikan pelarian tersebut dapat kembali ke tanah air mereka dengan jaminan keselamatan yang mampan.
“Saya menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap keadaan rakyat Rohingya di Bangladesh dan berterima kasih kepada Malaysia atas sokongan berterusan untuk memastikan penghantaran pulang mereka secara selamat, bermaruah dan mampan ke Myanmar,” katanya.
Kesepakatan ini dilihat sebagai langkah strategik Malaysia dalam memainkan peranan lebih aktif di pentas ASEAN, sekali gus membawa suara Bangladesh ke meja rundingan serantau, memandangkan Myanmar merupakan anggota blok tersebut.
Isu Rohingya turut menjadi antara agenda utama dalam lawatan rasmi sulung Tarique ke Malaysia selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya pada Februari 2026.
Selain isu kemanusiaan, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dalam sektor ekonomi, keselamatan dan tenaga.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa solidariti Malaysia terhadap isu kemanusiaan tidak terhad kepada Rohingya sahaja, malah merangkumi penderitaan rakyat Palestin di Gaza.
“Kita berdiri bersama dalam isu global ini dan akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa bagi memastikan keamanan dapat dicapai,” ujar beliau.