Skip to main content

Malaysia

LKAN: Naik taraf bangunan berkulat lewat siap, projek penyelidikan RM41.06 juta UKM terjejas

SHAH ALAM – Kelewatan penyiapan projek naik taraf bangunan dan fasiliti berkulat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi kesan kepada 251 projek penyelidikan universiti itu yang bernilai RM41.06 juta.SINAR HARIAN
Gambar bangunan UKM yang didapati berkulat turut dikongsikan dalam LKAN 1/2026 pada Isnin.

KUALA LUMPUR: Kelewatan penyiapan projek naik taraf bangunan dan fasiliti berkulat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberi kesan kepada 251 projek penyelidikan universiti itu yang bernilai RM41.06 juta.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mengenai Aktiviti Kementerian/ Jabatan/ Badan-Badan Berkanun Persekutuan melaporkan, kelewatan itu menyebabkan UKM terpaksa menanggung kos tambahan berjumlah RM1.81 juta untuk sewaan makmal luar, naik taraf ruang dewan, kos penyimpanan sampel, serta penggantian aset dan perabot bagi memastikan 251 projek penyelidikan berjumlah RM41.06 juta dapat diteruskan.

Advertisement

Menurut LKAN, berikutan penutupan fasiliti utama akibat isu kulat, sebanyak 27 projek berjumlah RM3.09 juta juga telah diberikan kelulusan lanjutan masa antara enam hingga 21 bulan bagi memastikan kelangsungan projek.

“Selain itu, sebanyak 63 aset penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM0.72 juta perlu dipindahkan atau ditempatkan di lokasi lain bagi meneruskan aktiviti penyelidikan.

“Penangguhan selama 15 bulan dalam penyiapan projek ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menyebabkan fasiliti tersebut masih tidak dapat digunakan serta berpotensi meningkatkan kos tambahan kepada pihak UKM bagi menampung dan meneruskan aktiviti penyelidikan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

LKAN menjelaskan, Projek Menaik Taraf Bangunan dan Fasiliti Berkulat serta Berisiko Kesihatan di Kampus UKM Bangi yang berjumlah RM43.28 juta telah ditawarkan kepada sebuah syarikat dan Pengarah JKR Negeri Selangor selaku Pegawai Penguasa Projek.

Menurut LKAN, naik taraf itu dijalankan ke atas dua blok Bangunan Sains Biologi dan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM Kampus Bangi berkeluasan 39,284 meter persegi yang telah dibina pada 1980 kerana mengalami masalah serangan kulat sejak tahun 2010.

LKAN memaklumkan, bangunan berkenaan berada dalam keadaan sangat kritikal dan tidak selamat diduduki akibat penyebaran kulat yang serius sehingga menyebabkan ia ditutup dan tidak digunakan sejak 2020 sebelum diserahkan kepada JKR untuk dilaksanakan skop kerja seperti naik taraf, rawatan bangunan dan kelengkapan peralatan makmal pada 2023.

“Isu pengudaraan, pengubahsuaian fungsi bilik dan binaan kemudahan atau struktur yang mengandungi asbestos telah menyebabkan pembiakan serta penyebaran kulat di dinding dan siling bangunan.

“Berdasarkan Klausa 2.0 Dokumen Kontrak yang ditandatangani antara JKR Malaysia dan Syarikat 181682-M pada 30 Mac 2023, tempoh kontrak bermula pada 12 April 2023 dan tamat pada 7 Oktober 2025.

“Projek itu telah diluluskan dua pelanjutan masa (EOT) selama 15 bulan dan dijangka siap pada 6 Januari 2027. EOT ini disebabkan oleh kelewatan pihak JKR untuk melantik subkontraktor mekanikal dan elektrikal,” ujarnya.

Bagaimanapun, LKAN menegaskan semakan audit mendapati kemajuan fizikal projek hanya mencapai 34 peratus setakat Oktober 2025.

Selain itu, kerja rawatan kulat di Bangunan P13 Sains Kimia belum dilaksanakan, manakala Bangunan P15 Sains Kimia masih digunakan dan belum diserahkan kepada JKR.

LKAN turut memaklumkan, projek berkenaan turut menerima 11 Arahan Perubahan Kerja (APK) dengan tambahan kos berjumlah RM3.04 juta berikutan penambahan skop selepas penilaian tapak dijalankan, khususnya kerja-kerja yang melibatkan kerosakan dalaman.

Mengulas lanjut, menurut LKAN, maklum balas Kementerian Kewangan (MOF) diterima pada 24 November 2025 dan kementerian dicadangkan mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan jawatankuasa atau platform di peringkat kementerian untuk meneliti projek bermasalah di bawah seliaannya.

“Maklum balas JKR pula diterima pada 25 November 2025 yang menyatakan projek ini dikategorikan di bawah pelaksanaan Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) serta dilaksanakan secara ‘design to cost’ memandangkan anggaran asal melebihi kos yang diluluskan.

“Terdapat banyak skop yang memerlukan penambahan selepas penilaian tapak dijalankan. Pihak JKR telah membuat permohonan Notis Perubahan (NOC) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UKM bagi kenaikan kos berjumlah RM18 juta pada 20 Disember 2024.

“KPT melalui surat bertarikh 7 Mac 2025 memaklumkan tambahan RM10 juta telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi. Susulan itu, subkontraktor mekanikal bagi kerja sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal telah dilantik bermula 28 Oktober 2025 sehingga 22 Disember 2026 (60 minggu),” tambahnya.

Jelas LKAN, EOT ketiga dijangka akan diangkat bagi skop ‘Nominated Subcontractor’ (NSC) mekanikal bagi tempoh tambahan tersebut serta pelaksanaan kerja kontrak semasa, iaitu penyiapan Blok Biologi bagi skop NSC elektrik yang belum dilantik berikutan peningkatan kos sebanyak RM8 juta.

LKAN menambah, maklum balas UKM yang diterima pada 26 November 2025 memaklumkan penutupan makmal utama menyebabkan projek penyelidikan ditangguhkan atau dijalankan dalam keadaan kurang optimum.

Ruang ganti juga tidak mencukupi bagi menampung kapasiti penyelidikan dan peralatan, selain kekurangan prasarana yang menjejaskan produktiviti penerbitan apabila sasaran produktiviti lebih 40 peratus belum dapat dicapai menjelang Oktober 2025.

Keadaan itu turut menyukarkan pengambilan pelajar baharu dan menjejaskan kualiti hasil penyelidikan kerana penyelidik terpaksa menyesuaikan tajuk kajian dengan kemudahan sedia ada.

Justeru, ujar LKAN, kegagalan menyiapkan projek mengikut jadual menyebabkan peningkatan kos projek berjumlah RM3.04 juta dan kos tambahan lain sebanyak RM1.81 juta serta memberi kesan kepada prestasi pencapaian 251 projek penyelidikan di UKM bernilai RM41.06 juta. - Sinar Harian

Must Watch Video