KUALA NERUS: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meluluskan pembinaan 257 unit rumah nelayan di seluruh negara menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) tahun ini.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata ia melibatkan kos sebanyak RM16.3 juta dengan pembinaan dilakukan secara berperingkat mengikut tahap kedaifan dan keperluan nelayan di sesebuah negeri.

Beliau berkata Sarawak memperoleh agihan tertinggi iaitu sebanyak 71 rumah diikuti Kedah (49), Perak (34), Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing 25 serta Wilayah Persekutuan Labuan (16).

"Selain itu agihan melibatkan Johor (11); Selangor (lapan); Perlis (lima); Pahang, Kelantan dan Melaka masing-masing empat manakala Pulau Pinang sebuah.

"Untuk tahun ini juga, LKIM telah menyerahkan 173 rumah baharu kepada penerima dengan kos sebuah rumah adalah sekitar RM58,000," katanya pada program penyerahan Rumah Nelayan di bawah PKPN di Pulau Redang di sini pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, Muhammad Faiz turut menyampaikan sumbangan bakul makanan dan enam lampu diod pemancar cahaya bernilai RM4,500 untuk dipasang di bangsal nelayan bagi kegunaan waktu malam.

Beliau berkata selain rumah bina baharu, LKIM turut menyediakan peruntukan sebanyak RM212 juta bagi membaik pulih rumah di bawah program PKPN tahun ini.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM turut menyimpan 90 tan metrik stok bekalan ikan segar sejuk beku sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.

"Selain stok penimbal di LKIM, kita turut mempunyai rakan dagang iaitu pihak yang menyimpan kira-kira 1,500 tan metrik bagi memastikan bekalan mencukupi pada musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata terdapat 56,000 nelayan aktif direkodkan berdaftar dengan LKIM dan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebulan.

-- BERNAMA