PUTRAJAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik mencecah 3.49 juta kenderaan di lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan pada hari puncak pergerakan sempena sambutan Aidilfitri.
Ketua Pengarah LLM Mohd Hadzmir Yusoff berkata peningkatan trafik dijangka bermula seawal esok, khususnya bagi pengguna yang bergerak ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.
Advertisement
Bagi lebuh raya utama, beliau berkata Kumpulan PLUS dijangka merekodkan 2.30 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) (215,000), Lebuhraya KL-Karak (210,000), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (106,000) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (65,000).
“Sementara itu, bagi lebuh raya sambungan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) diunjurkan mencatat 295,000 kenderaan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) sebanyak 159,000 dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sebanyak 135,000 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata semua syarikat konsesi diarah untuk memastikan tiada penutupan lorong kecuali kecemasan bermula esok hingga 30 Mac, pengaktifan 34 lokasi laluan pintar di Lebuhraya PLUS serta memastikan sistem kutipan tol beroperasi lancar dengan pelaksanaan kutipan berlapis di plaza tol kritikal.
Mohd Hadzmir berkata pemeriksaan operasi lebuh raya turut dipertingkatkan termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah, selain penyediaan 65 tandas mudah alih, jaminan bekalan air mencukupi serta penambahan petugas dan parkir di lokasi terpilih.
“Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik semasa serta sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM, iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia dan TikTok @llmtrafik atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752,” katanya.
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan untuk merancang perjalanan menggunakan Aplikasi TuJu dan Travel Time Advisory (TTA), memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mempunyai baki mencukupi bagi transaksi tol melalui Touch ’n Go, e-wallet atau kad debit.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri tahun ini bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam pada 18 Mac (Rabu) hingga 11.59 malam 19 Mac (Khamis).
Ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA).
-- BERNAMA