BERA: Semenanjung Klias di Sabah dan Loagan Bunut serta Sarikei di Sarawak merupakan lokasi yang dicadangkan sebagai Tapak Ramsar baharu negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata kementeriannya kini dalam proses penyediaan dokumen bagi pencalonan dengan pengiktirafan itu dijangka dapat diperoleh dalam tempoh setahun atau dua, jika semuanya berjalan mengikut perancangan.

"Selain itu, kita juga mempelawa negeri lain untuk menawarkan tapak lain untuk dicalonkan sebagai Tapak Ramsar kerana mereka (kerajaan negeri) mungkin lebih arif dan maklum tentang kawasan mereka.

"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedia membantu kerajaan negeri dan kita boleh berkongsi secara teknikalnya kriteria untuk melayakkan sesuatu kawasan dicalonkan sebagai Tapak Ramsar," katanya.

Nik Nazmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2024 di Tapak Ramsar Tasek Bera di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man.

Kali terakhir Tapak Ramsar didaftarkan ialah pada 2017 iaitu Kota Kinabalu Wetlands di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhannya setakat ini ialah tujuh iaitu Tasek Bera pada 1994; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor (2003); Kuching Wetlands National Park di Sarawak (2005) dan Lower Kinabatangan-Segama Wetlands di Sabah (2008).

Nik Nazmi berkata Malaysia mempunyai kekayaan ekosistem tanah lembap yang luas iaitu meliputi lebih 5.19 juta hektar, dari struktur geografi meliputi kawasan seperti tanah gambut, paya bakau, sungai dan tasik yang menjadi habitat kepada spesies flora dan fauna.

"Kawasan tanah lembap ini sangat penting dan mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi sama ada dari nilai ekonomi dalam bentuk hasil hutan, laut dan pelancongan mahupunfaedah perkhidmatan ekosistem.

"Ini seperti perlindungan daripada angin kencang dan gelombang besar, kawasan tadahan air, kawalan banjir dan penyimpanan karbon. Pengiktirafan sebagai Tapak Ramsar juga dapat menaikkan profil kawasan," katanya.

Mengambil contoh Tasek Bera, Nik Nazmi berkata tasik semula jadi terbesar negara dengan keluasan lebih 30,000 hektar itu menjadi ekosistem air tawar semula jadi dengan kepelbagaian biologi akuatik selain didiami sekitar 2,000 penduduk Orang Asli suku Semelai.

Sementara itu, Leong berkata kerajaan negeri menerusi Tourism Pahang giat memperkasakan semula pelancongan di Tasek Bera, dengan operator baru resort di situ, yang ditutup sebelum ini, dijangka dilantik dalam tempoh terdekat.

"Tasek Bera akan kembali menjadi produk pelancongan utama daerah Bera dan kita juga merancang pelbagai produk sampingan lain untuk dipromosikan bersama Tasek Bera termasuk menerusi kerjasama dengan masyarakat Orang Asli setempat," katanya.

Pada majlis itu, Nik Nazmi turut melancarkan buku 'Fishes of Tasek Bera' yang mendokumenkan profil spesies 36 famili dan 158 spesies ikan air tawar termasuk empat spesies baharu yang direkodkan dan masing-masing satu spesies berstatus endemik dan pupus di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA