SERDANG: Tindakan pemandu sebuah kereta yang keluar simpang secara mengejut mengakibatkan sebuah lori terbabas sebelum merempuh dua kenderaan lain dalam kejadian Jalan Lebuh Puteri, Bandar Puteri di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 11.40 pagi.

"Siasatan awal dijalankan mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lebuh Puteri ketika sebuah lori jenis Inokom dipandu seorang lelaki dari arah Lebuh Puteri (IOI Galeri) menghala ke KPMC Puchong.

"Lori tersebut melanggar sebuah kereta jenis Honda City yang dipercayai keluar simpang secara mengejut mengakibatkan ia terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar dua lagi yang diletakkan berhampiran," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan kesemua mangsa yang terlibat.

"Pemandu lori serta Honda City tersebut masing-masing tidak mengalami kecederaan dalam kejadian.

"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 166/59) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Remy Nordin di talian 0195282256.

Pada Selasa, tular video di media sosial memaparkan sebuah lori yang terbabas dan melanggar beberapa buah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lebuh Puteri di sini. -Sinar Harian