Sarawak mensasarkan tahun 2020 untuk merealisasikan hasrat untuk membina sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di kawasan Selatan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata, jangkamasa itu diberi berasaskan kajian awal yang telah dibuat.

"Buat masa ini, tiada keputusan lagi dibuat. Kami masih di peringkat perancangan laluan.

"Kami sudah mendapatkan rakan kongsi serta syarikat yang sesuai untuk projek ini," kata Abang Johari.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Sarawak akan merangka pelan jangka panjang untuk menaik taraf pengangkutan awam di Sarawak termasuk pelan menggunakan sistem LRT.

Tambah beliau, kawasan yang akan dihubungkan adalah antara Kuching, Serian dan Samarahan.

Apabila ditanya sama ada perancangan tersebut akan melibatkan keseluruhan negeri dan bukan hanya bahagian selatan Sarawak, Abang Johari berkata perancangan laluan akan dibuat berdasarkan pembangunan infrastruktur di kawasan-kawasan tertentu.

"Kita perlu pastikan bahawa secara ekonominya pembinaan LRT tersebut adalah sesuai di tempat tersebut," kata beliau.

Abang Johari berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi Projek Methanol dan hasilnya antara Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak dan Konsortium China Huaqiu Contracting and Engineering Co dan Macfeam Sdn Bhd di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur petang tadi.

Projek bernilai AS$800 juta tersebut dijangka akan membawa impak positif kepada industri minyak dan gas bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di Malaysia.