KUALA LUMPUR: Siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku isu pada sistem pertukaran landasan (switch), di mana gerabak pertama berada di landasan yang betul, manakala gerabak seterusnya berada di laluan berbeza.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, keadaan ini menyebabkan daya tarikan dari belakang menarik keluar gerabak hadapan, mengakibatkan dua gerabak pertama tergelincir daripada landasan.
"Secara keseluruhan, daripada enam gerabak, dua gerabak pertama terkeluar sepenuhnya dari landasan.
"Punca sebenar termasuk sama ada sistem pertukaran landasan itu berfungsi dengan baik atau sebaliknya perlu disiasat secara menyeluruh," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi terjejas pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut meninjau lokasi kejadian di Stesen LRT Chan Sow Lin bersama pasukan petugas khas dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden berkenaan.
Beliau berkata tren yang terlibat dijangka dikeluarkan dari landasan pada Jumaat sebelum kerja-kerja pembaikan dimulakan.
“Selepas tren ini dikeluarkan, kerja pembaikan landasan akan bermula dan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima hari. Landasan ini dijangka dapat diaktifkan semula pada Rabu, 3 Jun,” katanya.
Menurut beliau, buat sementara waktu, perkhidmatan tren dari Ampang ke Sentul Timur akan dihentikan di stesen berkenaan dan berpatah balik ke arah Ampang bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan.
“Salah satu landasan tidak dapat digunakan ketika ini kerana tren yang tergelincir masih berada di atasnya dan perlu dikeluarkan menggunakan kren,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa siasatan menyeluruh perlu dijalankan bagi memastikan punca sebenar kejadian dikenal pasti, termasuk meneliti sama ada sistem pertukaran landasan berfungsi dengan baik seperti sepatutnya.