ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menghantar 24,000 kampit beras bernilai RM300,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di negeri Kelantan dan Terengganu.

Dalam titah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin selepas melancarkan majlis pelepasan konvoi Misi Bantuan Banjir di Perkarangan Stadium Darul Aman di sini, hari ini, baginda berharap bantuan daripada Kedah itu sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan asas mangsa bencana di dua negeri berkenaan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata 12,000 kampit beras lima kilogram (kg) akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan manakala 12,000 kampit beras lagi akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Katanya 49 pegawai dan anggota dari LZNK, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menyertai konvoi yang melibatkan 15 kenderaan itu dalam misi bantuan banjir berkenaan.

-- BERNAMA