SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan 'Kempen Kongsi Rezeki dengan Zakat' bermula semalam hingga 31 Dis ini, sebagai galakan dan seruan kepada umat Islam khususnya di Selangor untuk menyegerakan kewajipan zakat sebelum berakhir 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, kempen yang membawa tema 'Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka' itu bertujuan mengajak mereka yang layak menunaikan kewajipan zakat bersama-sama LZS bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.

"Menerusi kempen ini, masyarakat Islam dapat berkongsi rezeki zakat dengan golongan asnaf di Selangor agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam cabaran ekonomi pada masa ini, seterusnya membangunkan diri serta keluarga.

"Sehingga kini, LZS menyantuni lebih 68,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan di Ibu Pejabat LZS, di sini, pada Isnin.

Mohd Sabirin berkata, pihaknya turut mengajak masyarakat untuk menyertai kempen-kempen inisiatif galakan kepada pengeluar zakat dengan menawarkan pelbagai tawaran hadiah menarik bernilai lebih RM60,000 sempena kempen itu.

Beliau berkata, antara inisiatif yang ditawarkan adalah menerusi kempen 'Zakat Online On X On' khusus kepada pengeluar zakat yang membuat bayaran zakat menerusi ezakatpay di fpx.zakatselangor.com.my dan kempen 'Auto Kan Senang' terbuka kepada individu, peniaga serta syarikat yang mula mendaftar pembayaran zakat secara bulanan menerusi platform debit langsung.

Maklumat lanjut berhubung kempen tersebut boleh didapati dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau melalui media sosial rasmi LZS, katanya.

Sementara itu, Mohd Sabirin berkata, lebih RM735 juta jumlah kutipan zakat melibatkan 321,000 pengeluar di Selangor berjaya dikutip setakat Oktober lepas.

Dalam majlis sama, tiga syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan dengan jumlah keseluruhan RM252,971.59 melibatkan PWN Exvellence Sdn Bhd dengan jumlah zakat yang dikeluarkan sebanyak RM136,572.34, diikuti Agrobank Berhad (RM106,323.27) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (RM10,075.98) .

Sementara itu, LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM17,660,556 antaranya bantuan pembinaan rumah baharu, baik pulih rumah dan bantuan perubatan bagi menjalani pembedahan. - BERNAMA