KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memuktamadkan beberapa perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), antaranya berkaitan isu geran khas.

Hajiji menyifatkan keputusan kerajaan memberi autonomi kepada Sabah dan Sarawak untuk meluluskan projek di bawah RM50 juta merupakan satu berita baik bagi Sabah dan Sarawak.

“Ia adalah satu lagi berita baik yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas penyerahan kuasa pengawalseliaan sumber gas kita.

“Ia pasti akan membantu dalam kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan yang sentiasa dihalang oleh kerenah birokrasi yang rumit sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hajiji menjelaskan, jawatankuasa kerja dan kajian semula mengenai MA63 akan diteruskan di bawah Pengerusinya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, selepas keputusan memberi autonomi kepada Sabah dan Sarawak untuk meluluskan projek di bawah RM50 juta, kerajaan juga dijangka akan memberikan peruntukan tambahan kepada Sabah bagi mempercepatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, Anwar memaklumkan Jemaah Menteri menyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.

Mengambil contoh projek pembangunan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Anwar menegaskan, ia tidak perlu menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Hujah Anwar, keputusan itu dibuat bagi mengelak kerenah birokrasi yang menyebabkan banyak projek JKR di Sabah dan Sarawak tidak dapat dilaksanakan.