MA63: Kurang 10 undi, kerajaan gagal pinda Perlembagaan Persekutuan

Harits Asyraf Hasnan
April 9, 2019 14:38 MYT
Daripada 221 Ahli Parlimen, 138 mengundi bersetuju manakala 59 lagi tidak mengundi. - Gambar fail
Kerajaan tidak berjaya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan apabila gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti daripada jumlah ahli Dewan Rakyat.
Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan perkara tersebut selepas undi belah bahagian dijalankan bagi Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 malam ini.
Daripada 221 Ahli Parlimen - dengan kerusi Parlimen Sandakan yang masih kosong - 138 mengundi bersetuju manakala 59 lagi tidak mengundi.
Ini menjadikan kerajaan kekurangan 10 undi bagi memastikan pindaan itu berjaya dilaksanakan.
BACA: RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 lalui perbahasan lebih enam jam
BACA: MA63: Sabah, Sarawak terus terima hak sedia ada - PM
BACA: Pembentangan pertama RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 kecoh
“Jadi keputusannya, tidak dapat undi yang lebih daripada dua pertiga. Jadi seterusnya, RUU ini tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali kedua sekarang kerana tidak mendapat dua pertiga,” katanya mengakhiri persidangan hari ini.
Sokongan majoriti ialah 148 undi daripada 222 Ahli Parlimen, iaitu dua pertiga persetujuan anggota Dewan Rakyat.
Seramai 46 Ahli Parlimen membahaskan pindaan kepada RUU tersebut yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
#ahli Parlimen #belah bahagian #Dewan Rakyat #kerajaan #Mohamad Ariff Md Yusof #Parlimen #Perlembagaan Persekutuan #pinda #Rang Undang-Undang #RUU Perlembagaan Pindaan #undang-undang #undian