KUCHING: Sarawak akan memulakan langkah seterusnya untuk menuntut semula perkara yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Muda Undang-Undang, Ma63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pihaknya kini masih dalam proses meneliti dan membuat senarai perkara yang harus dituntut.

Ujarnya, melihat kepada mandat besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), hak Sarawak ini menjadi keutamaan sehingga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menubuhkan satu kerusi kabinet khas mengurus MA63.

“Segala yang kita nak perjuangkan, kita akan perjuangkan secara teratur dan mesti dengan mandat besar daripada rakyat agar segala hak-hak ini dapat dikembalikan kepada Sarawak.

“Secara amnya memang kita akan teruskan sebab itu Yang Amat Berhormat Ketua Menteri mengadakan portfolio khas untuk MA63 agar hak-hak kita yang termaktub dalam MA63 dan Laporan Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Persekutuan akan kita terus perjuangkan dan akan pastikan terus untuk dikembalikan kepada kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Solidariti Anak Muda 2022 Belia di Dewan Kampung Lintang, di sini pada Sabtu.

Terdahulu Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Negara pada 28 Disember lalu.