KUALA LUMPUR: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diterjemahkan sebagai dasar, komitmen dan naratif nasional yang dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar dokumen sejarah yang dikenang setiap tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MA63 merupakan amanah dan iltizam nasional yang mesti ditunaikan dengan penuh keikhlasan, keadilan serta tanggungjawab demi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus dipelihara.
“MA63 bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang saban tahun, sebaliknya ia adalah amanah dan iltizam nasional yang mesti kita lunaskan dengan ikhlas, adil dan penuh tanggungjawab.
“Apa yang telah dipersetujui perlu dilaksanakan, manakala perkara yang masih belum selesai mesti terus dirunding dengan kebijaksanaan, keikhlasan dan semangat muafakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Jelasnya, mesyuarat itu meneliti kemajuan pelaksanaan persetujuan di bawah MA63 selain membincangkan beberapa perkara strategik yang memberi kesan langsung kepada masa depan Sabah dan Sarawak.
Antara isu yang dibincangkan termasuk inisiatif pemerkasaan keselamatan sempadan Sabah dan Sarawak, pertambahan perjawatan serta pelaksanaan Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di kedua-dua negeri, kajian semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta cadangan pertambahan kerusi Ahli Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata, setiap perkara diteliti secara menyeluruh dalam semangat Persekutuan yang kukuh dengan tekad memastikan hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak diterjemahkan melalui keputusan dan pelaksanaan yang berkesan.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Persekutuan akan terus membuka ruang perbincangan seluas-luasnya bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berteraskan semangat perpaduan sebagai rakan dalam Persekutuan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan dan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Anwar dijadual menghadiri sambutan Hari Malaysia di Kuching minggu depan bagi memperingati sejarah pembentukan negara serta memperkukuh komitmen membina Malaysia yang lebih utuh, adil dan sejahtera.