KUALA LUMPUR: Kebenaran Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan projek dengan kos di bawah RM50 juta diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu diterjemah kepada pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah Datuk Hasnol Ayub berkata langkah itu dilihat akan dapat mengurangkan isu kerenah birokrasi.

"Saya kira pemberian kuasa kepada Sabah dan Sarawak ini merupakan satu 'baby step' dalam usaha kerajaan merealisasikan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) malah ia amat signifikan dalam menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan kerajaan dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini yang bertajuk 'MA63: Semakin Jelas dan Nyata' terbitan Bernama TV.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Kewangan bersetuju agar pelaksanaan projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.

Hasnol juga berkata bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, kerajaan negeri perlu mempunyai instrumen yang mematuhi garis panduan ditetapkan.

Beliau yakin lebih banyak dialog dan perbincangan melibatkan pihak berkepentingan akan diadakan selepas ini bagi memastikan pelbagai perkara yang termaktub dalam MA63 dapat dilaksanakan.

"Pasti ada tuntutan lain yang boleh dipertimbang namun mungkin ia memerlukan masa sama ada jangka pendek, sederhana ataupun panjang terutama yang melibatkan pindaan enakmen.

"Bagaimanapun, adalah penting untuk kita mengambil kira impak kepada kedua-dua negeri dan negara terhadap apa sahaja keputusan yang diambil kerana ia perlu berimbang dan tidak memudaratkan Persekutuan," katanya.

Pada masa sama, Hasnol turut mencadangkan agar satu indeks diwujudkan dalam mengukur persepsi dan penerimaan rakyat terhadap segala keputusan yang dilakukan kerajaan berkaitan MA63.

-- BERNAMA