Lebaran 2014 bakal diraikan tidak lama lagi. Apakah makna hari raya bagi IM Hassan?
Apabila berbicara mengenai hari raya, saya cukup tertarik dengan pandangan Hamka yang berbunyi, “Hari raya bukan pada cantiknya baju raya dan keseronokannya tetapi lebih kepada takwa yang diperoleh sepanjang sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.” Ini bermaksud, hari raya adalah hari bagi meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Apakah matlamat puasa itu sudah dicapai? Jika ya, sambutlah raya dengan bersederhana kerana itu lebih baik di sisi agama.
Perkara paling dinanti-nanti setiap kali tibanya raya?
Bagi saya, jika dapat berkumpul dengan ahli keluarga dan menziarahi sanak-saudara. itulah momen yang paling ditunggutunggu saban tahun. Kalau mahu dikongsi, saya cukup teruja menyambut Aidilfitri pada tahun lepas kerana meraikannya bersama keluarga sendiri iaitu dengan anak dan isteri. Maklumlah kami baru dapat cahaya mata pertama, jadi teruja sangat nak sambut raya dengan orang baru (ketawa). Satu perasaan gembira yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan masa saya bujang dulu.
Nikmat kemaafan yang diperoleh apabila kita memaafkan orang yang pernah menyakitkan hati kita?
Dalam hal ini, saya ingin menyatakan bahawa barang siapa yang tidak menyayangi insan lain maka tiada orang yang akan menyayangi diri kita. Begitu juga jikalau kita tidak memaafkan kesalahan orang, maka orang pun tidak akan jatuh sayang kepada kita. Ingat! Sekiranya hubungan kita baik dengan insan lain, maka Allah pun akan menyayangi kita. Nikmat kemaafan sebegini iaitu memaafkan kesalahan orang terhadap kita adalah hati kita lebih tenang dan berasa bahagia, insya-Allah.
Pandangan IM Hassan tentang ungkapan “Kosong-kosong” yang digunakan oleh umat Islam kala memohon maaf?
Pada pandangan saya, ungkapan ini tidak salah jika dilafazkan oleh umat Islam untuk tujuan meminta maaf jika maksudnya difahami oleh masyarakat. Kosong-kosong yang membawa makna memohon kemaafan zahir dan batin masih dibolehkan kerana ia akrab dengan budaya kita dan tidak melanggar syariat. Justeru, pernyataan maaf menggunakan ungkapan “kosongkosong” adalah diharuskan asalkan ia tidak melanggar syariat