SIRIM lancar program Kesediaan ESG perkukuh kelestarian industri Malaysia

Pelancaran tersebut dirasmikan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy Dr Mohd Bakri Jali, mewakili Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: SIRIM Bhd hari ini melancarkan Jelajah Kesediaan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), Program Pensijilan Personel dan Khidmat Nasihat Laporan Kelestarian di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian MADANI untuk memperkukuh penerapan amalan ESG dalam kalangan industri Malaysia.
Ringkasan AI
- SIRIM Bhd melancarkan Jelajah Kesediaan ESG di bawah Pelan Hala Tuju Kelestarian MADANI untuk memperkukuh amalan ESG dalam industri Malaysia, selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
- Program ini menyediakan panduan teknikal, pembinaan kapasiti, dan pensijilan kepada organisasi untuk menyepadukan ESG dalam operasi utama, menjadikan ESG pemacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan daya saing global syarikat Malaysia.
- Program Geran ESG-NIMP disasarkan kepada PKS dan syarikat peringkat pertengahan untuk melaksanakan amalan ESG dengan 80% pembiayaan kerajaan dan 20% sumbangan syarikat, termasuk latihan dan pensijilan khusus untuk kakitangan ESG.
Menurut SIRIM, program tersebut menyediakan panduan teknikal, pembinaan kapasiti dan pensijilan kepada organisasi yang mengambil bahagian untuk menyepadukan ESG ke dalam operasi utama mereka.
"Sebagai rakan strategik industri, SIRIM merangka inisiatif ini untuk mengubah ESG daripada perkara pematuhan kepada pemacu pertumbuhan yang mampan, cekap dan menguntungkan, bermatlamat memperkasakan syarikat Malaysia untuk menerima guna ESG dan meningkatkan daya saing di pentas global," katanya.
SIRIM berkata program itu menangani cabaran industri yang biasa seperti kepakaran ESG dalaman terhad dan kos perundingan luaran tinggi.
Pendekatan berstruktur SIRIM menawarkan sokongan praktikal yang kos efektif, termasuk panduan tentang penyediaan laporan kelestarian selaras dengan piawaian Inisiatif Pelaporan Global (GRI), yang dapat meningkatkan kredibiliti dengan pelabur dan mengukuhkan perkongsian rantaian bekalan.
Menurut kenyataan itu, organisasi yang layak boleh memohon Program Geran ESG-NIMP, yang menyediakan 80 peratus pembiayaan kerajaan dengan 20 peratus sumbangan bersama syarikat.
"Geran ini disasarkan kepada PKS dan syarikat peringkat pertengahan, termasuk pengeksport dan firma dalam sektor pelepasan karbon tinggi, untuk melaksanakan amalan ESG dengan berkesan.
"Peserta akan mendapat manfaat daripada latihan dan pensijilan khusus untuk kakitangan ESG, serta sokongan nasihat untuk mencapai status formal untuk sedia mengamalkan ESG," katanya.
Pelancaran tersebut dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy Dr Mohd Bakri Jali, mewakili Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin.
SIRIM Bhd, dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dan beroperasi di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merupakan agensi yang dipercayai dari segi kualiti, inovasi dan kemajuan teknologi yang menyokong pembangunan perindustrian negara lebih daripada lima dekad.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


