MAHAR rayu solidariti global di tengah krisis kemanusiaan Sudan yang kian meruncing

MAHAR menjelaskan Sudan kini terjerumus dalam konflik antara SAF dan RSF, yang telah menghancurkan negara itu. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyeru rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa supaya bersuara dan berdiri teguh bersama rakyat Sudan yang kini berdepan satu daripada krisis kemanusiaan paling buruk di dunia namun masih kurang mendapat perhatian global.
Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata keadaan di Sudan semakin meruncing, namun dunia seolah-olah terus berdiam diri.
"Kami percaya kita tidak boleh berdiam diri ketika jutaan nyawa sedang menderita. Kita mesti bersuara demi kanak-kanak, keluarga dan komuniti yang kehilangan segalanya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
MAHAR menjelaskan Sudan kini terjerumus dalam konflik antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF), yang telah menghancurkan negara itu.
Lebih 12 juta rakyat Sudan dilaporkan hilang tempat tinggal, manakala empat juta lagi terpaksa melarikan diri ke luar negara.
"Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 25 juta penduduk Sudan, iaitu kira-kira separuh daripada jumlah populasi negara itu kini berdepan kelaparan, dengan kebuluran sudah melanda sebahagian wilayah Darfur dan Kordofan.
"Hospital serta kemudahan kesihatan pula musnah atau diserang, manakala berjuta-juta orang tidak mempunyai akses kepada air bersih.
"Wabak kolera dan penyakit berbahaya lain terus meragut nyawa kerana bantuan kemanusiaan masih tidak mencukupi dan akses ke kawasan terjejas amat terhad," katanya.
Perkembangan terbaharu di El Fasher, ibu negeri Darfur Utara dilaporkan amat membimbangkan.
Pada hujung minggu lalu, RSF dilaporkan menawan bandar itu dan melakukan pembunuhan beramai-ramai di sebuah hospital tempatan, menyebabkan ratusan pesakit, ahli keluarga dan petugas kesihatan terbunuh.
"Banyak rumah diceroboh, orang awam ditembak, dan ribuan lagi melarikan diri dalam ketakutan. Dengan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang semakin berkurangan, lebih 260,000 penduduk yang masih terperangkap kini berjuang untuk terus hidup tanpa bantuan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


