Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Mahasiswa baharu UniMAP diingatkan manfaatkan peluang di menara gading - Raja Muda Perlis

[TB]_Raja Muda Perlis, mahasiswa Unimap_Unimap
Tuanku Syed Faizuddin (depan, dua dari kiri) dan Tuanku Lailatul Shahreen (tengah) berkenan bergambar kenangan bersama mahasiswa-mahasiswa baharu UniMAP pada Majlis Apresiasi dan Kebudayaan sempena Minggu Suai Kenal Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, di sini, pada Isnin. Hadir sama Prof Ts Dr Zaliman Sauli (depan, kiri).
Advertisement

PAUH PUTRA: Mahasiswa baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diingatkan agar memanfaatkan sepenuhnya peluang menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia yang semakin dinamik dan kompetitif.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, UniMAP merupakan ruang terbaik untuk mahasiswa memperkukuh ilmu pengetahuan, mengasah kemahiran, memperluaskan pengalaman serta meneroka potensi diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Menurut baginda, mahasiswa perlu menggunakan tempoh pengajian sebaik mungkin bagi membina diri sebagai graduan yang berilmu, kompeten dan berintegriti, selain mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan menyumbang secara bermakna kepada industri serta masyarakat.

“Jangan sesekali sia-siakan harapan dan pengorbanan keluarga yang sentiasa mengiringi perjalanan anda,” titah baginda.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UniMAP bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Kebudayaan sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, di sini, pada Isnin

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP serta puteri baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli bersama barisan pengurusan tertinggi universiti.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, mahasiswa baharu yang hadir dari pelbagai latar belakang membawa bersama impian, cita-cita dan harapan keluarga masing-masing, sekali gus menjadi sebahagian daripada komuniti UniMAP bermula hari ini.

“Gunakanlah peluang ini untuk membina ilmu, mengasah kemahiran serta membentuk sahsiah dan jati diri sebagai bekalan untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa dunia yang bakal ditempuhi mahasiswa sentiasa berubah selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa, justeru menuntut generasi muda yang mampu beradaptasi, berfikir secara kritis dan menghasilkan penyelesaian yang relevan.

Menurut baginda, penguasaan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa keupayaan membaca, pemikiran kritis dan pegangan nilai yang kukuh.

“Mahasiswa bukan sekadar perlu menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu berupaya mencipta nilai melalui ilmu dan inovasi,” titah baginda.

Sementara itu, UniMAP secara rasmi menyambut kemasukan kira-kira 2,798 mahasiswa baharu bagi program Sarjana Muda untuk Sidang Akademik 2026/2027.

Sesi pendaftaran yang bermula pada 26 September lalu diteruskan menerusi pengisian Minggu Suai Kenal yang merangkumi pelbagai aktiviti akademik, pembangunan sahsiah serta pengenalan kepada persekitaran dan kehidupan kampus.

Majlis Apresiasi dan Kebudayaan itu turut menjadi platform menghargai fasa transisi mahasiswa baharu ke alam pengajian tinggi di samping menyemarakkan semangat perpaduan melalui kepelbagaian seni dan warisan budaya Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement