Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mahu terus mengekalkan kepentingannya sebagai pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG), walaupun dalam proses mencari rakan kongsi atau pelabur baharu di lapangan terbang berkenaan.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata pihaknya yang memiliki penuh kepentingan di ISG terbuka untuk menjadi rakan kongis yang mampu menambah nila kepada aset MAHB, namun tidak tertekan untuk menjual kepentingan ISG, buat masa ini.

“Kami telah menguruskan ISG bersendirian sejak dua tahun lalu dan berdepan pelbagai cabaran dan sekarang keadaan kelihatan sangat baik untuk ISG.

“Anda sudah melihat rancangan pembangunan kami di sini, dengan pembinaan landasan kedua dan balai pelepasan, ini adalah usaha kami untuk membawa masuk lebih banyak syarikat penerbangan dan penumpang, sekali gus mengembangkan lagi perniagaan,” kata Badlisham kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Namun, Badlisham turut mengakui kebaikan untuk kerjasama dan rakan kongsi atau pelabur baharu yang mampu meningkatkan nilai perniagaan MAHB.

“Kami juga sangat proaktif untuk mencari rakan kongsi yang mampu meningkatkan nilai perniagaan kami di ISG. Pintu kami sentiasa terbuka untuk menerima cadangan atau perbincangan dengan rakan kongsi yang berpotensi.

“Jika saya berkata ia hanya melibatkan kepentingan kewangan sahaja, ia mudah. Tetapi kami adalah penggendali lapangan terbang dan kami mahu rakan kongsi yang mampu menambah nilai bukan sahaja kepada aset di sini, tetapi juga aset lain,” katanya.

Bagaimanpun, Badlisham menekankan kuantum pegangan antara MAHB dan mana-mana rakan kongsi bergantung kepada nilai yang di bawa oleh syarikat rakan kongsi.

“Komitmen kami adalah untuk kekal menjadi pengendali utama untuk ISG. Dari segi konteks lain, sebelum ini kami pernah memegang 20 peratus kepentingan di ISG, tetapi kami adalah pengendali lapangan terbang ini.

“Kini, kami memegang penuh kepentingan di sini, dan kami mempunyai pelbagai rancangan masa depan. Ini termasuk pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif terbaharu, Ersel Goral.

“Kami mahu memberi masa kepada kepimpinan Ersel Goral untuk melaksanakan rancangan pembangunan dan saya harap kerajaan Turki dalam melihat nilai dan usaha yang dilakukan. Ini fokus kami,” tambah Badlisham.

Beliau turut menegaskan MAHB komited sebagai pengedali ISG iaitu lapangan terbang kedua terbesar di bandar raya ini selepas Lapangan Terbang Ataturk sehingga konsesinya tamat pada 2032.