Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes hari ini menegaskan Malaysia Airports Holdings Berhad perlu mencari penyelesaian bagi masalah terminal lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) yang dilaporkan ditenggelami air hari ini.

Beliau berkata sudah tiba masanya MAHB menghentikan memberi pelbagai alasan kerana AirAsia sebelum ini sudah banyak kali menyatakan keengganan untuk pindah ke KLIA2 atas dakwaan masalah infrastruktur termasuk mendapan tanah di landasan lapangan terbang tersebut.

"Saya sangat kecewa kerana saya meluangkan banyak masa di lapangan terbang ini. MAHB perlu mencari penyelesaian dalam perkara ini .

"Sudah-sudahlah memberikan alasan. Kami (AirAsia) berasa kecewa kerana kami sudah cakap banyak kali, kami tidak mahu pindah. Lapangan terbang itu belum sedia lagi dan tengok apa yang berlaku sekarang," kata Tony kepada pemberita ketika ditemui di majlis pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan 2014 di Dewan Kompleks Seri Bintang, di sini hari ini.

Tony turut meluahkan kekecewaannya di laman Twitternya pagi tadi dengan mengatakan jawapan yang diterima daripada MAHB berhubung perkara tersebut tidak diterima akal.

Menurut Tony, lembaga dan pengurusan MAHB perlu turun padang untuk meninjau keadaan di KLIA2 sebelum memberi apa-apa alasan.

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Aireen Omar sebelum ini berkata penyelesaian jangka panjang perlu dicari bagi memastikan KLIA2 selamat.

Kementerian Pengangkutan juga telah mewujudkan jawatankuasa audit bebas bagi mengenalpasti isu KLIA2 bagi membolehkan MAHB melakukan kerja-kerja penambahbaikan.

Terminal KLIA2 mula beroperasi pada 2 Mei untuk menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) selepas .dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia mempunyai kapasiti mengendalikan 45 juta penumpang setahun.