KUALA LUMPUR: Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyambut baik pengumuman kerajaan yang tiada perancangan menjual Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS).

Zambry berkata, sokongan pihak kerajaan terhadap Malaysia Airports itu lebih mendalamkan lagi komitmen syarikat tersebut untuk terus menyumbang dalam mencapai aspirasi negara dan memperkukuhkan industri penerbangan Malaysia.

"Saya mewakili pihak Malaysia Airports dan seluruh warga kerjanya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak kerajaan terutama sekali Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan yang mengesahkan bahawa Malaysia Airports kekal sebagai operator LTSAAS sehingga tahun 2067 dan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan aset sekitar lapangan terbang ini.

"Kami yakin komitmen ini dapat dipenuhi sepenuhnya dengan pelaksanaan pelan Regenerasi LTSAAS yang telah dirangka yang akan memastikan ia kekal sebagai aset strategik negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Awal hari ini, kerajaan memaklumkan bahawa tiada sebarang perancangan menjual mana-mana hartanah lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) kepada mana-mana pihak.

Menangkis spekulasi yang hangat diperkatakan kini, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan media memaklumkan, hartanah lapangan terbang merupakan aset strategik kerajaan.

Sebelum ini, Zambry menggesa kerajaan untuk membatalkan hasrat menswastakan dan mengeluarkan LTSAAS bagi tujuan pengambilalihan oleh pihak tertentu.

BACA: Jangan benarkan pihak lain ambil alih LTSAAS - Pengerusi Malaysia Airports

Kata beliau, pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan merupakan sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara.

Jelasnya, ia adalah di bawah Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

“Ini merupakan kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS. Justeru, tidak timbul perkara yang dimainkan oleh kalangan tertentu bahawa saya tidak pernah bersama dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan.

“Saya menghormati pendirian Kesatuan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung (KESMA), KEPEMAB (Sabah dan Labuan) serta KEPMAS (Sarawak) kerana mereka mewakili suara warga Malaysia Airports.

“Saya masih menaruh harapan agar kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports agar LTSAAS tidak dijual. LTSAAS adalah aset strategik negara yang perlu dipertahankan,” katanya.

Pada 25 Jun, KESMA mendakwa Malaysia akan kerugian sebanyak RM11.9 bilion sekiranya Lapangan Terbang Subang berjaya diambil alih oleh WCT Holdings Bhd dan Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB).

Yang Dipertuanya, Hussin Shahar berkata, usaha yang dilakukan oleh WCT dan SSSB tersebut hanyalah untuk menguntungkan syarikat mereka sendiri.