Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta 20 peratus daripada Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings).

Ia adalah sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2016.

Rayyan Radzwill Abdullah, 41, rakan perniagaan kepada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Akberdin Abdul Kader pada perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar itu.

Akberdin: Kita dah tahu peranan dimainkan oleh Mahdzir dalam projek ini, oleh kerana peranan dimainkan oleh beliau saya katakan beliau telah meminta 20 peratus daripada Jepak sebagai balasan atau upah kerana bantu Jepak Holdings dalam projek ini.

Rayyan Radzwill: Ya, melalui rakannya bernama Md Fuad Yasin dan dia (Md Fuad) merupakan salah seorang individu yang hadir dalam mesyuarat teknikal pertama (berhubung projek ini) di KPM.

Akberdin: Ingat atau tidak, oleh kerana 20 peratus besar, Saidi cakap tidak boleh entertain (layan) sebab (20 peratus) terlalu tinggi dan selepas berbincang, 20 peratus dikurangkan kepada RM60 juta bagi tempoh lima tahun atau RM1 juta bagi tempoh 60 bulan.

Rayyan Radzwill: Ya benar.

Saksi pendakwaan ke-16 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Dalam keterangannya sebelum ini, Mahdzir yang juga saksi pendakwaan kelima menyangkal dakwaan peguam Rosmah bahawa beliau ada menerima habuan RM60 juta daripada Jepak Holdings sebagai balasan kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar tersebut.

Rayyan Radzwill yang juga Pengarah Syarikat Nanocarb Technology Sdn Bhd turut memberitahu mahkamah bahawa Saidi ada memberitahunya bahawa rakan perniagaannya itu membayar RM50,000 untuk penginapan hotel perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap, Kedah, ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.

Saksi pendakwaan itu juga bersetuju dengan cadangan Akberdin bahawa Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Pahang Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib turut memainkan peranan penting dalam membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar itu.

"Sebagai balasan atas khidmat diberi oleh Datuk Aazmey, Jepak telah buat 'perjanjian perkhidmatan perundingan' dengan beliau tentang bayaran yang perlu diberikan kepadanya," soal Akberdin dan Rayyan Radzwill menjawab ya selain menambah beliau yang telah menyediakan perjanjian berkenaan bagi pihak Jepak Holdings.

"Secara ringkasnya, persetujuan antara Jepak Holdings dan Datuk Aazmey melalui perjanjian itu ialah Jepak Holdings secara prinsipnya telah bersetuju untuk beri Datuk Aazmey RM50 juta," kata Akberdin.

"Jumlah tidak ingat tetapi yang saya ingat empat atau lima peratus yang dipersetujui (daripada nilai projek solar RM1.25 bilion)," jawab saksi itu.

"Setuju atau tidak Saidi telah bayar hampir RM2 juta kepada Datuk Aazmey," kata Akberdin dan Rayyan Radzwill menjawab: "Setuju, Datuk Aazmey ada beritahu saya."

Saksi tu pada satu ketika kelihatan sebak apabila menyatakan bahawa beliau daripada awal tidak bersetuju dengan tindakan menawar dan 'menabur' wang yang banyak kepada ahli politik bagi mendapatkan projek tersebut.

Rayyan Radzwill berkata beliau bersetuju membantu Saidi dalam kerja-kerja teknikal bagi mendapatkan projek solar itu disebabkan beliau datang dari keluarga miskin yang kerap mengalami gangguan elektrik.

"Saya beritahu Saidi jangan beri wang kepada mereka (ahli politik) tetapi kalau nak beri juga berilah kepada kawasan mereka, namun Saidi tetap berdegil dan menyatakan perkara itu (menabur wang) adalah perlu bagi mendapatkan sesuatu projek. Sebab itu banyak urusan pemberian wang oleh Saidi di luar pengetahuan saya. Apabila berlaku penipuan terhadap terma-terma projek saya terpanggil untuk membuat laporan polis," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA