Majlis Fatwa Kebangsaan digesa untuk menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah bagi mengelakkan kekeliruan berkenaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata kekeliruan mengenai penggunaan kalimah Allah ini timbul dari masyarakat bukan Islam terutamanya penganut agama Kristian.

"Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 telah termaktub mengatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain selain dari agama Islam dan itu sudah jelas segalanya," kata Mahfuz dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS di sini tadi.

"Saya percaya bahawa kandungan dalam enakmen itu telah pun mengambil kira pandangan-pandangan dari ahli-ahli agama, para ulama dan sebagainya,".

Namun begitu, masyarakat sedang keliru dengan keputusan kerajaan pusat yang sebaliknya membenarkan pengunaan kalimah Allah untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.

"Maka, disini wujudlah kekeliruan dan pertanyaan dikalangan orang Islam dan orang bukan Islam itu sendiri. Mana satu yang betul?," katanya lagi.

Beliau mempersoalkan dengan kekeliruan yang terjadi kini adakah pendirian JAIS itu merupakan pendirian yang betul atau keputusan kerajaan Pusat melalui Kabinet yang mengizinkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak itu yang selari dengan ajaran agama Islam.

"Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membuat satu ketetapan. Mana satu antara dua ini adalah pendirian yang betul dan selari dengan kehendak agama Islam dan kekeliruan ini perlu ditangani

Tambahnya lagi, sekarang agama Islam di negara ini dilihat sebagai 'double-standard' kerana di Sabah dan Sarawak, kalimah Allah dibenarkan untuk diguna melalui kitab-kitab Bible sedangkan di Semenanjung, ianya dilarang sama sekali.

Maka, ianya akan wujud persepsi yang tidak baik dari kalangan orang bukan Islam.

Seandainya Majlis Fatwa Kebangsaan gagal dalam membuat penetapan dan pendirian dalam isu ini, maka anggotanya perlu dilantik semula.

"Jikalau isu ini pun mereka gagal tangani, maka lebih elok dibubarkan dan lantiklah orang baru," katanya.