Mahir menyanyi lagu Hindi, PM Anwar kini 'viral' di India, kata Modi

Anwar (kanan) dan Modi semasa majlis pertemuan bersama komuniti India di Pusat Konvensyen The Mines hari ini bersempena lawatan rasmi selama dua hari. - Bernama
KUALA LUMPUR: Klip video pendek Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanyikan lagu berbahasa Hindi kini tular di kalangan masyarakat India.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata tindakan Anwar itu mencerminkan penghargaan Malaysia terhadap budaya dan kesenian India.
“Rakyat India teruja apabila video beliau (Anwar) menyanyikan lagu Hindi klasik menjadi tular di India, malah sangat mengagumkan apabila beliau turut menyukai lagu Tamil daripada lagenda M.G. Ramachandran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama di majlis pertemuan bersama komuniti India di Pusat Konvensyen The Mines hari ini bersempena lawatan rasmi selama dua hari.
Untuk rekod, sebuah klip video memaparkan Anwar menyanyikan lagu ‘Dost Dost Na Raha’ di Hotel Delhi Taj sempena lawatan pertamanya ke India pada 2024.
Di hadapan ribuan pengunjung, Modi turut menzahirkan penghargaan atas layanan istimewa yang diterima daripada Anwar sejurus ketibaannya pada petang tadi.
“Beliau hadir ke lapangan terbang untuk menyambut saya, membawa saya ke sini dengan keretanya, malah bukan sahaja keretanya, tetapi juga tempat duduknya.
“Sikap istimewa ini mencerminkan kasih dan penghormatan beliau terhadap India dan terhadap anda semua,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh dalam kalangan penyokong yang hadir.
Pada masa sama, Modi turut menyatakan rasa kagum terhadap Anwar atas fokus beliau dalam usaha reformasi sebelum memegang jawatan Perdana Menteri serta peranannya selaku Pengerusi ASEAN pada 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


