Skip to main content

Malaysia

6,442 graduan terima ijazah pada Majlis Konvokesyen UUM ke-39

Dr Ahmad Martadha (empat, kiri) menunjukkan poster Pesta Konvokesyen pada sesi sidang media Majlis Konvokesyen UUM Kali ke-39 hari ini. - Gambar Bernama
Dr Ahmad Martadha (empat, kiri) menunjukkan poster Pesta Konvokesyen pada sesi sidang media Majlis Konvokesyen UUM Kali ke-39 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

ALOR SETAR: Sebanyak 6,442 graduan bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-39 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok dari 15 hingga 19 Nov ini.

Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata majlis yang melibatkan sembilan sesi itu akan disempurnakan oleh Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, selaku Tuanku Canselor UUM.

Ahmad Martadha berkata daripada keseluruhan penerima itu, sebanyak 5,296 graduan adalah dalam bidang sarjana muda manakala 1,082 lagi adalah graduan pascasiswazah merangkumi Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan ijazah sarjana, selain 37 graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.

Advertisement

Beliau berkata sebanyak 5,952 graduan adalah warga tempatan manakala 490 lagi adalah graduan antarabangsa, dengan China mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 172 orang, diikuti Indonesia (108), Pakistan (31), Iraq (21), Emiriah Arab Bersatu (16), Nigeria (15) dan Somalia (14).

“Konvokesyen kali ini turut menyaksikan kepelbagaian latar belakang graduan, termasuk pemimpin negara, tokoh masyarakat, penggiat seni dan penjawat awam yang memilih UUM untuk melanjutkan pengajian serta meningkatkan profesionalisme masing-masing,” katanya.

Advertisement

Pada konvokesyen kali ini, UUM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik) kepada Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, 66; Ijazah Kehormat Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) pula dianugerahkan kepada Pengerusi Pusat Tuisyen Akademik Darul Bakti Kubang Pasu Zainol Abidin Mohamad, 68, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Non.

Selain itu, Profesor Dr Rosna Awang Hashim akan menerima gelaran Profesor Emerita sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat baktinya selama lebih 35 tahun di UUM, termasuk 21 tahun sebagai profesor.

Turut mencuri perhatian ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik selepas berjaya menamatkan pengajiannya manakala penggiat seni Datuk Idris Md Yusof atau lebih dikenali sebagai Eizlan Yusof turut tersenarai dalam kalangan graduan selepas menamatkan pengajian program Sarjana Sains (Pengurusan).

Ahmad Martadha berkata daripada 5,296 graduan sarjana muda, sebanyak 1,104 memperoleh ijazah kelas pertama dan daripada jumlah itu, 106 graduan yang mencapai Purata Mata Gred Keseluruhan (PMK) sekurang-kurangnya 3.67 turut dikenal pasti mempunyai kecemerlangan menyeluruh merangkumi aspek kepimpinan, sahsiah serta penglibatan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan serta universiti.

Bersempena konvokesyen itu, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen (PESKON) selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Nov ini dengan tema “Mahasiswa Berilmu Pemacu Graduan Holistik”.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement