PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu memutuskan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 berperlembagaan dan penahanan 14 individu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas dakwaan gerakan "Rasul Melayu" sebagai sah.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi, dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan JAIS, mendapati Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah itu adalah tidak batal.

"Seksyen 23 Enakmen itu membenarkan orang yang ditangkap dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu selesai siasatan terhadap kesalahan yang didakwa.

"Pada masa yang sama, Seksyen 187 Enakmen itu memperuntukkan kuasa yang diperlukan untuk mengenakan syarat, termasuk jumlah bon dan jaminan.

"Oleh itu, kami berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Tinggi secara jelas terkhilaf dalam keputusannya bahawa Seksyen 23 Enakmen itu adalah serupa dengan perintah reman," kata Hakim Azizah, yang bersidang bersama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah semasa menyampaikan keputusan melalui prosiding dalam talian.

Pada 14 April 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan sebahagian tindakan undang-undang oleh Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain terhadap penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri itu pada 20 Sept 2020.

JAIS, Ketua Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Islam Selangor, hakim Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam Masnizar @ Mohd Nizar Mohtar, kerajaan negeri, hakim Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam Shanizah Ngatiman, sebagai perayu pertama hingga keenam, merayu untuk mengetepikan keputusan tersebut.

Azizah dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan perintah Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Sivil dan Syariah adalah dua sistem perundangan yang berasingan.

"Mahkamah Syariah bukanlah tribunal inferior tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, tetapi merupakan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang kompeten. Oleh itu, mahkamah sivil tidak boleh menyemak keputusan Mahkamah Syariah menurut Aturan 53 Kaedah itu.

"Mahkamah Tinggi dalam kes ini hanya boleh mengisytiharkan kesahihan Seksyen 23 Enakmen dengan Kerajaan Negeri sebagai pencanggah," katanya.

Oleh itu, hakim berkata pendapat mahkamah yang dipertimbangkan ialah Hakim Mahkamah Syariah, menjalankan fungsi kehakiman mereka apabila memberikan perintah tersebut dan oleh itu dilindungi di bawah Seksyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

"Kesimpulannya, kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan hakim bertarikh 14 April 2022," katanya.

Sementara itu, mahkamah juga mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan JAIS dan kerajaan negeri membayar ganti rugi RM10,000 setiap seorang kepada Abdul Kahar dan 13 yang lain.

Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid mewakili enam perayu manakala peguam Fahri Azzat mewakili Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain.

Sebelum ini, media melaporkan JAIS menahan Abdul Kahar dan yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada 20 Sept 2020 atas dakwaan kebangkitan gerakan "Rasul Melayu".

Mereka ditahan antara satu hingga 99 hari dari 21 Sept 2020 hingga 28 Dis 2020, kerana tidak dapat memenuhi syarat jaminan.

Bagaimanapun sehingga hari ini mereka masih belum didakwa di Mahkamah Syariah.

Selepas pembebasan mereka daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk mencabar kesahan penangkapan dan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari dalam tahanan.

-- BERNAMA