PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan penangguhan akhir pendengaran rayuan enam lelaki terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Anthoy Kevin Morais pada 2015.

Rayuan oleh bekas pakar patologi, Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 60, pemberi pinjaman wang S. Ravi Chandaran, 52, dan empat lagi individu yang tidak bekerja R. Dinishwaran, 31, A.K. Thinesh Kumar, 30, M. Vishwanath, 33 dan S. Nimalan, 30, sepatutnya didengar hari ini oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Bagaimanapun, peguam M. Manoharan memohon mahkamah bagi penangguhan singkat, memandangkan beliau baru dilantik oleh mahkamah mewakili Dinishwaran pada 31 Okt lepas dan masih belum meneliti rekod rayuan untuk menyediakan kes itu.

Katanya walaupun mahkamah telah memberikan beliau pautan kepada rekod rayuan, beliau memerlukan salinan cetak rayuan itu kerana beliau tidak mahir memuat turun dokumen berkenaan. Beliau juga berkata rekod rayuan itu adalah sangat panjang. Peguam yang mewakili Dr Kunaseegaran, Datuk N. Sivananthan memberitahu mahkamah beliau dan peguam lain yang mewakili perayu tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Hadhariah menetapkan tiga hari pada 4, 7 dan 14 Dis untuk pendengaran rayuan itu.

"Tiada sesiapa dibenar menghantar surat untuk penangguhan. Ini adalah tarikh muktamad, tiada penangguhan dibenarkan," katanya.

Sementara itu, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Vishwanath, bertanya kepada mahkamah sama ada beliau boleh mengemukakan hujahannya pada 14 Dis kerana beliau tiada di sini pada 4 dan 7 Dis.

Peguam Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Thinesh Kumar, peguam Kitson Foong bagi pihak Ravi Chandaran dan peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Nimalan. Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Fuad Abdul Aziz bagi pihak pendakwaan.

Pada 10 Julai 2020, kesemua lelaki itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Morais di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.

Morais, 55, dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur, untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana. Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 Sept 2015.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah (kini hakim Mahkamah Rayuan) berpendapat kesemua enam lelaki itu mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais.

Beliau berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah berhubung penglibatan enam lelaki itu dalam pembunuhan berkenaan.

Enam lelaki itu kemudiannya memfailkan notis rayuan mereka kepada Mahkamah Rayuan.

-- BERNAMA