Mahkamah halang bank tutup akaun syarikat perkapalan buat sementara waktu

Peguam P Taneswaran (tengah) bersama anak guamnya, Pengarah Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan perintah injunksi sementara bagi menghalang RHB Bank Berhad daripada menutup dua akaun milik sebuah syarikat perkapalan, sementara menunggu pendengaran penuh permohonan injunksi itu.
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi keluarkan injunksi sementara menghalang RHB Bank menutup dua akaun Maritime Network Sdn Bhd sementara menunggu pendengaran penuh.
- Kes berpunca daripada notis penamatan akaun oleh RHB atas alasan pelanggaran dasar dalaman tanpa penjelasan jelas; syarikat dakwa tindakan itu jejaskan operasi.
- Pengurusan kes ditetapkan 14 November, sementara rayuan berkaitan pertikaian akaun dijadual didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 Disember.
Pendengarannya dibuat hari ini selepas syarikat berkenaan memfailkan sijil keperluan segera pada Khamis agar kes itu didengar tanpa penangguhan.
Menurut Taneswaran, prosiding hari ini diadakan sebelah pihak sahaja kerana pihak bank belum lagi diserahkan dokumen saman.
“Mahkamah menetapkan 14 November depan untuk pengurusan kes,” katanya.
Menurut sijil keperluan segera bertarikh 16 Oktober, Maritime Network telah membuka dua akaun dengan RHB sejak 23 September 2005 masing-masing melibatkan akaun pelbagai mata wang dan akaun semasa.
Bagaimanapun, pada 6 Oktober lalu, syarikat itu menerima notis penamatan bertarikh 1 Oktober yang memaklumkan bank berhasrat menutup kedua-dua akaun, serta menamatkan semua perkhidmatan dalam tempoh 14 hari.
Bank didakwa berbuat demikian atas alasan berlaku pelanggaran dasar dan garis panduan dalaman.
Namun, ia tidak menjelaskan dasar atau garis panduan mana yang dikatakan dilanggar.
Syarikat itu turut memaklumkan terdapat pertikaian berterusan antara kedua-dua pihak berkaitan akaun berkenaan, yang sebelum ini telah dibawa ke Mahkamah Tinggi melalui permohonan penemuan dokumen, tetapi ditolak pada 2 Julai.
Pada hari yang sama, Maritime Network memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang dijadual didengar pada 11 Disember.
Syarikat itu turut mendakwa tindakan bank menuduhnya melanggar dasar dalaman tanpa memberi penjelasan jelas menyebabkan syarikat berada dalam ketidaktentuan dan dinafikan peluang membela diri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami