KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar percaya bahawa bagi badan kehakiman, mahkamah perlu diberi kuasa untuk membuat keputusan secara bebas tanpa pengaruh dan campur tangan daripada sesiapa.

Beliau berkata kebebasan ini perlu merangkumi situasi ketika hakim perlu menggunakan budi bicaranya dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah.

Wan Junaidi berkata keputusan Kabinet baru-baru ini untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan memberi kuasa budi bicara kepada hakim dalam menjatuhkan hukuman, adalah satu contoh mengekalkan kebebasan badan kehakiman.

"Keputusan Kabinet untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia kebanyakannya berkisar kepada memberikan budi bicara kepada hakim untuk memutuskan hukuman paling sesuai, melihat kepada pelbagai kes yang dibicarakan," katanya.

Wan Junaidi berkata demikian dalam ucaptama pada Simposium University Malaya-National University of Singapore Hybrid: Constitutional Amendments and The Basic Structure in Malaysia di sini pada Jumaat.

Menjelaskan mengenai pindaan yang dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata sejak enam dekad lepas, Perlembagaan Persekutuan telah diubah tidak kurang daripada 57 kali.

"Sepanjang tempoh saya memegang jawatan ini, ia dipinda tiga kali. Pindaan yang membantu memenuhi tujuannya ialah pindaan yang baik," katanya.

Wan Junaidi berkata berbeza dengan bidang lain, undang-undang sentiasa berkembang dengan pengimbangan berterusan pelbagai pertimbangan yang berbeza.

"(Ia) memerlukan penggubal undang-undang merendah hati untuk menyedari kesilapan mereka dan undang-undang boleh diperbaiki...justeru, saya menggalakkan bakal penggubal undang-undang di negara ini untuk terus menyoal, berfikir dan menganalisis," katanya.

-- BERNAMA