MENLO PARK: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg, dilapor sedang membangunkan ejen kecerdasan buatan (AI) khusus bagi membantu beliau menguruskan tugasan kepimpinan di gergasi media sosial berkenaan.
Laporan Wall Street Journal mendedahkan bahawa projek "ejen CEO" itu bertujuan meningkatkan kecekapan kerja Zuckerberg dengan membolehkan beliau mengakses maklumat kritikal dengan lebih pantas tanpa perlu melalui pelbagai lapisan pengurusan tradisional.
Advertisement
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada anjakan besar Meta dalam mengintegrasikan teknologi AI ke dalam budaya kerja organisasi mereka.
Selain ejen untuk peringkat pengurusan tertinggi, Meta turut membangunkan peralatan AI lain seperti 'Second Brain' yang berfungsi mengindeks serta menganalisis dokumen dalaman bagi projek-projek tertentu.
Kakitangan Meta juga dilaporkan menggunakan ejen peribadi MyClaw yang boleh mengakses log perbualan dan fail kerja untuk membantu tugasan harian mereka.
Inisiatif pesat ini menyusuli pengambilalihan syarikat AI, Manus, pada penghujung tahun lalu.
Meskipun terdapat kajian yang mempersoalkan keberkesanan AI dalam meningkatkan produktiviti, Meta dilihat terus komited meneroka potensi ejen digital bagi mengambil alih sebahagian tugasan rutin dengan sistem automasi yang lebih kos efektif dan beroperasi tanpa henti.