Skip to main content

Politik

'Tanya Presiden MIC' - Dominic Lau jawab status sertai PN

Ulangtahun Gerakan 2
Dominic berkata, beliau serta pimpinan PN lain bukan pihak yang sepatutnya menjawab persoalan berkaitan status parti yang mewakili kaum India itu. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: MIC perlu beri penjelasan berhubung kedudukan semasa parti itu susulan kenyataan Perikatan Nasional (PN) yang memaklumkan bahawa permohonan penyertaannya ke dalam gabungan tersebut telah diterima.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau, menegaskan bahawa beliau serta pimpinan PN lain bukan pihak yang sepatutnya menjawab persoalan berkaitan status parti yang mewakili kaum India itu.

Advertisement

“Itu kena tanya MIC, bukan PN. Kena tanya Presiden MIC (Tan Sri S Vigneswaran), bukan presiden parti lain dalam PN,” kata beliau yang juga Presiden Gerakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun ke-58 Gerakan di Menara PGRM, di sini, pada Selasa.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa mesyuarat PN telah meluluskan permohonan MIC untuk menyertai gabungan itu, menjadikan PN kini dianggotai lima parti.

Bagaimanapun, hanya beberapa jam selepas kenyataan itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan menafikan parti tersebut pernah memohon menyertai PN.

Beliau menegaskan sebarang keputusan sedemikian perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, yang setakat ini masih belum bermesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Saravanan, yang juga Ahli Parlimen Tapah, turut menjelaskan bahawa MIC masih belum memutuskan sama ada akan kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau keluar daripada gabungan itu.

Pada Disember lalu, Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Ananthan menjelaskan bahawa surat dihantar kepada PN bukanlah permohonan untuk menyertai gabungan itu.

Must Watch Video