PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguh pendengaran bagi rayuan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Dengan ini, prosiding rayuan akan didengar di Mahkamah Persekutuan mengikut tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

Prosiding rayuan akhir itu dijadualkan selama 10 hari bermula 15 Ogos depan.

Memetik Berita Harian, perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul selepas pengurusan kes rayuan berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, pada Jumaat.

Pasa Selasa lalu, peguam yang baharu dilantik Najib diketuai Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan berkenaan.

Ia susulan pertukaran pasukan peguam terdahulu yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi kes rayuan tersebut.

Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah turut memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Namun, beliau dibenarkan ikat jamin sementara menunggu pendengaran di Mahkamah Persekutuan.

Hisyam, yang mempunyai pengalaman 45 tahun, kini mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah di Mahkamah Tinggi.

Hisyam pernah mewakili wanita Vietnam, Doan Thi Huong, yang didakwa membunuh Kim Jong-nam pada 2017.

Wanita itu didakwa bersama warga Indonesia, Siti Aisyah atas kesalahan itu, tetapi pihak pendakwaan menarik balik tuduhan membunuh ke atas Siti.

Doan kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menyebabkan kecederaan terhadap Kim dengan melumurkan agen saraf VX pada mukanya di balai pelepasan klia2.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Doan, yang kemudian pulang ke Vietnam pada 2019 selepas selesai menjalani hukumannya.