Skip to main content

Malaysia

Kerajaan pertahan kebebasan media, perkasa kewartawanan beretika

Adam Adli, Kejohanan Boling Media Piala Parlimen Hang Tuah Jaya. Sumber: Pendika
Adam Adli membaling bola boling ketika menyertai Kejohanan Boling Media Piala Parlimen Hang Tuah Jaya, malam tadi. - Gambar Facebook Pendika

MELAKA: Kerajaan akan terus mempertahankan kebebasan media serta memastikan pengamal media mempunyai ruang dan keupayaan untuk melaporkan berita secara bebas, profesional dan berlandaskan etika kewartawanan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, hubungan baik antara kerajaan dan pengamal media perlu terus diperkukuh memandangkan media memainkan peranan penting sebagai penyambung lidah masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat, khususnya ketika berdepan cabaran penyebaran maklumat palsu serta lambakan maklumat daripada pelbagai platform media sosial.

“Kita akan terus mempertahankan kebebasan media dan memastikan media terus diperkasakan agar mampu melaporkan berita dengan bebas dan merdeka.

“Dalam keadaan hari ini, peranan media semakin penting untuk memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang berfakta, tepat dan tidak semata-mata berasaskan sentimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Boling Media Piala Parlimen Hang Tuah Jaya, di sini, malam tadi.

Adam Adli berkata, media yang berpegang kepada profesionalisme dan etika kewartawanan mempunyai tanggungjawab besar dalam membantu rakyat mendapatkan gambaran sebenar mengenai sesuatu isu.

Beliau berkata, peranan wartawan menjadi semakin signifikan dalam menentukan maklumat yang diterima masyarakat adalah sahih dan boleh dipercayai.

Mengulas mengenai suasana politik yang dijangka semakin hangat menjelang beberapa pilihan raya negeri, beliau berharap pengamal media dapat terus menjalankan tugas secara profesional dan memberi liputan yang seimbang.

“Kita mahu memastikan semua pengamal media bebas membuat liputan yang meliputi pelbagai perspektif supaya rakyat dapat membuat penilaian politik yang baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama yang terjalin selama ini dan menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai simbolik kepada persahabatan erat antara kerajaan dan media.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement