PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan membenarkan rayuan Najib dan Mohd Nazifuddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Nov 2025 yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan penangguhan tersebut.
Menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Alwi berkata keputusan membenarkan penangguhan itu adalah wajar kerana terdapat isu khusus yang dibangkitkan oleh pihak perayu untuk dibicarakan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), yang merupakan alasan yang memadai untuk membenarkan penangguhan.
Najib dan Mohd Nazifuddin sebelum ini memohon agar prosiding kebankrapan terhadap mereka ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Prosiding kebankrapan itu berpunca daripada keputusan berasingan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan penghakiman terus oleh LHDN terhadap bapa dan anak tersebut berhubung tunggakan cukai bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.
LHDN berusaha mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.
-- BERNAMA