Mahkamah Rayuan kurangkan jumlah pampasan kepada keluarga Altantuya kepada RM1.4 juta

Razak Baginda (kiri), Altantuya
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan jumlah pampasan yang diberikan kepada keluarga model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh, daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta dalam satu saman sivil berhubung kematiannya pada 2006.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azman Abdullah dan K. Muniandy.
Muniandy, ketika membacakan penghakiman itu berkata dalam kes ini, pampasan sebanyak RM5 juta itu bersifat simboik dan diberikan atas dasar penegasan hak, bukannya melalui pengiraan yang tepat terhadap kehilangan kebergantungan.
"Pampasan sedemikian tidak boleh dipertahan... sehubungan itu, pampasan sebanyak RM5 juta diketepikan... ganti rugi yang boleh dinilai adalah terhad kepada kehilangan kebergantungan, yang dikira berdasarkan pendapatan si mati menggunakan kaedah pengganda-pendarab dan tertakluk kepada had statutori di bawah Seksyen 7(3)(a) Akta Undang-Undang Sivil 1956 (CLA), bersama perbelanjaan pengebumian di bawah Seksyen 7(3)(b) CLA," katanya.
Panel itu turut memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap kematian Altantuya kerana perbuatan kedua-dua anggota polis terbabit iaitu Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri telah dilakukan di luar skop tugas mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


