SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada Isnin mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang kerana gagal hadir ke mahkamah untuk pengesahan nikahnya bersama bekas isteri kedua yang dilangsungkan pada 27 Julai lalu.

Hakim Ruzita Ramli mengeluarkan arahan berkenaan selepas ketidakhadiran Noor Azmi Yusof pada prosiding bersama bekas isterinya, Norhaya Rahmat, 50.

"Memandangkan kes ini memerlukan kehadiran responden, mahkamah arahkan satu waran tangkap dikeluarkan kepada responden (Noor Azmi)," katanya.

Bekas isterinya, Norhaya, pula memaklumkan kepada mahkamah yang dia telah diceraikan oleh responden melalui WhatsApp pada 17 Ogos lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk prosiding sebutan semula kes bagi pengesahan nikah.

Sementara itu, Norhaya ketika ditemui pemberita meluahkan rasa kecewa kerana bukan saja gagal mendapat kerjasama daripada bekas suami untuk menyelesaikan perkara itu, malah perkahwinannya juga tidak didaftarkan.

"Kami bernikah pada 27 Julai lalu di sebuah hotel di Seremban melalui kadi pejabat agama yang diuruskan bekas suami dan diwalikan oleh abang kandung saya.

"Secara dasarnya ia memang sah mengikut syarak dan bekas suami juga berjanji akan menguruskan pendaftaran pernikahan dengan kerjasama kadi terbabit, namun perkara itu tidak terjadi sehingga dia menceraikan saya hanya menerusi Whatsapp selepas 21 hari berkahwin," katanya.

Disebabkan itu katanya, dia terpaksa menguruskan pendaftaran perkahwinan mereka secara bersendirian pada 11 September lalu bagi tujuan pengesahan cerainya.

Tambahnya, dia bukannya mahu menuntut apa-apa dalam perkahwinan mereka sebaliknya mahu kerjasama lelaki terbabit untuk mengesahkan penceraian di mahkamah syariah. - Sinar Harian