KUALA LUMPUR: Hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Parlimen dan Badan Perundangan Negeri tidak boleh membuat undang-undang melangkaui senarai perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, kuasa perundangan Persekutuan dan negeri ditentukan Perlembagaan menerusi jadual itu yang telah menggariskan undang-undang yang boleh dibuat oleh Parlimen serta Badan Perundangan Negeri.

Berikut perincian penghakiman: 

*  "Jika ada pihak mencabar undang-undang digubal oleh badan perundangan negeri yang dilaksanakan di mahkamah syariah atas alasan ia tidak memiliki kuasa untuk berbuat demikian.."

* "... dan jika mahkamah sivil membenarkan cabaran itu, pihak yang mencabar dan mahkamah sivil tidak boleh dikatakan menentang allah kerana undang-undang yang dicabar bukanlah sesuatu yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah sebaliknya oleh badan perundangan negeri."

* "Jika isu pencabaran undang-undang yang diluluskan oleh kerajaan negeri atau badan perundangan negeri dilihat dari sudut ini maka tidak timbul soal mahkamah sivil tidak mempertahan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan mahkamah syariah."


* "Terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang islam iaitu hudud, qisas dan takzir."

* "Hudud adalah hukuman yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah S.W.T. manakala qisas ialah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan."

* Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan/pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budi bicara hakim."

* "Setakat hari ini mahkamah syariah di Malaysia tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas tetapi hanya takzir, sama seperti mahkamah sivil."

* Justeru tidak ada bezanya mahkamah syariah dan mahkamah sivil kerana kedua-dua sistem melaksanakan hukuman takzir."

* Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksana oleh mahkamah syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat negeri dan diluluskan oleh badan perundangan negeri"

* "Manakala hukuman takzir yang dilaksana oleh mahkamah sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat persekutuan dan diluluskan oleh Parlimen."


Menurut Tengku Maimun, sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes ini," kata beliau ketika membacakan penghakiman dalam kes itu.

Menerusi keputusan majoriti 8-1, Tengku Maimun turut menegaskan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah enakmen itu adalah batal dan tidak sah.