MALAYSIA
Mahkamah tetapkan 8 Ogos untuk keputusan kes bekas pelajar kolej bunuh bayi

Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh keputusan kes seorang bekas pelajar kolej swasta yang didakwa membunuh bayi perempuannya yang baru dilahirkan, lima tahun lepas. - Foto hiasan
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh keputusan kes seorang bekas pelajar kolej swasta yang didakwa membunuh bayi perempuannya yang baru dilahirkan, lima tahun lepas.
Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Nurul Khairiah Dahalaan, peguam RSN Rayer dan Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat Timur Laut Mohd Zahir Harun.
Rofiah berkata mahkamah memerlukan masa untuk membuat keputusan bagi meneliti laporan sosial yang dikemukakan serta hujah pihak pendakwaan dan rayuan pihak pembelaan.
Terdahulu, Rayer memohon agar mahkamah mempertimbangkan umur tertuduh ketika kesalahan dilakukan iaitu 18 tahun yang disifatkan sebagai pesalah muda serta tempoh tahanan reman selama empat bulan sebagai faktor mitigasi bagi menggantikan hukuman penjara sebagai jaminan atau bon berkelakuan baik."Anak guam saya mengalami masalah kemurungan teruk dan disahkan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak ketika mendapatkan laporan perubatan pada 16 Jun 2022 serta telah melalui fasa living in hell akibat tohmahan masyarakat sehingga hari ini yang boleh dikatakan satu hukuman juga," katanya.
Beliau turut memohon mahkamah agar mengambil kira latar belakang wanita itu sebagai pelajar cemerlang di sekolah serta tekanan emosi yang dialami tertuduh dan keluarganya akibat kejadian tersebut.
Nurul Khairiah pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam meskipun tertuduh dikira pesalah muda.
Beliau berkata hasil forensik juga mengesahkan bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan masih hidup dan tertuduh dilaporkan membalut mangsa dengan sehelai kemeja-T sebelum membuangnya keluar dari tingkap rumah.
"Sekiranya bayi perempuan tersebut masih hidup, beliau akan tumbuh membesar menjadi seorang bayi perempuan yang comel dengan usia lebih kurang empat tahun dalam dunia," katanya.
Tertuduh, yang kini berusia 23 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di Apartmen Sri Ivory di Bandar Baru Ayer Itam di sini pada 8.25 pagi 10 Julai 2020 mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami