KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi untuk membatalkan saman taikun Tan Sri Halim Saad berhubung kerugian yang didakwa dialami beliau susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan hampir 23 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhamad Said membatalkan saman terhadap Dr Mahathir, bekas Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan atas alasan wujud had masa (statut had masa).

"Mahkamah mendapati kes pada tahun 2013 ini sebenarnya telah dilupuskan, oleh itu apa jua isunya, prinsip res judicata dan statut had masa adalah terpakai.

"Ada sebab wujudnya had masa. Ia adalah bagi menghentikan tindakan yang tidak perlu diambil terutama selepas satu-satu tempoh," katanya.

Pada 17 April 2013, Halim telah memfailkan saman yang serupa terhadap Khazanah Nasional, Nor Mohamed dan kerajaan bagi menuntut kerugian lebih RM1.8 bilion kerana menjual sahamnya dalam Renong.

Bagaimanapun, pada 31 Okt 2013, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khazanah Nasional, Nor Mohamed dan kerajaan untuk membatalkan saman itu atas alasan Halim telah memfailkannya selepas tempoh enam tahun, seperti yang diperuntuk oleh Akta Had Masa 1953.

Ahli perniagaan itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Pada prosiding hari ini, Suzana juga berkata peristiwa itu (pengambilalihan) berlaku pada 2001 iaitu lebih 20 tahun lepas.

Beliau turut memerintahkan Halim membayar kos sebanyak RM10,000.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak Dr Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan manakala Halim diwakili oleh peguam Datuk Malik Imtiaz dan Surendra Ananth.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan bersama saman itu pada 2 Ogos tahun lepas, Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong mendakwa beliau berhasrat untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong dengan pelaksanaan yang membolehkan plaintif mempunyai kawalan dan pemilikan penuh ke atas UEM.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau telah diarah oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil alih semua saham dalam UEM menerusi satu entiti yang ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang dicalonkan oleh Khazanah.

Halim juga mendakwa beliau telah diarah meninggalkan UEM dan Renong sebagai pemegang saham serta pengarah, termasuk anak syarikat kedua-duanya yang meyebabkan ahli perniagaan itu terpaksa menyerahkan Renong dan UEM kepada kerajaan serta mengalami kerugian selepas melupuskan sahamnya dalam Renong.

Beliau mendakwa Khazanah telah mengambil alih semua saham UEM menerusi anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd, justeru mendapat kawalan ke atas UEM, yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

Oleh itu, Halim menuntut antara lain pampasan bagi pengambilalihan paksa oleh kerajaan yang berlaku antara Julai dan Oktober 2001 serta deklarasi bahawa beliau adalah pemegang saham Renong.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyangkal telah mengambil alih saham kedua-dua syarikat secara paksa kerana langkah tersebut telah dipersetujui oleh Halim, yang menerima RM165 juta sebagai pampasan.

-- BERNAMA