MALAYSIA
Mahkamah Tinggi benarkan injunksi sementara, halang setiausaha syarikat serah dokumen Ilham Tower kepada SPRM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pmembenarkan perintah injunksi sementara bagi menghalang setiausaha syarikat Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, Rebecca Lee Ewe Ai daripada menyerahkan dokumen kepada mana-mana pihak ketiga. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membenarkan perintah injunksi sementara bagi menghalang setiausaha syarikat Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, Rebecca Lee Ewe Ai daripada menyerahkan dokumen kepada mana-mana pihak ketiga, melainkan dengan persetujuan pengarah syarikat.
Peguam Nizammuddin Hamid dari Tetuan Zharif Nizammuddin yang mewakili kedua-dua syarikat, termasuk pengarahnya, Toh Puan Na’imah Khalid berkata, perintah itu susulan permohonan difailkan kedua-dua syarikat terhadap defendan, berhubung prosiding pelucuthakan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ilham Tower Sdn Bhd.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu bermakna sebarang pendedahan dokumen kepada SPRM hanya boleh dilakukan dengan persetujuan anak guam mereka selaku pengarah syarikat.
Nizamuddin berkata, hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya telah memutuskan seperti berikut: -“Satu injunksi ad-interim untuk menghalang Defendan, sama ada secara sendiri dan/atau melalui pekerja dan/atau ejen dan/atau wakil atau mana-mana pihak lain, daripada menyerahkan apa-apa dokumen yang tidak boleh diakses oleh masyarakat umum …
“…dan/atau boleh diakses melalui sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang berada dalam simpanan dan/atau rekod Defendan kepada mana-mana pihak ketiga tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Plaintif-Plaintif sehingga 9 Oktober 2025 atau Perintah lanjut Mahkamah”.
Nizamuddin berkata, susulan itu, mahkamah memerintahkan supaya kertas kausa diserahkan kepada SPRM untuk memberi peluang kepada anak guamnya didengari di hadapan Mahkamah mengenai permohonan kedua-dua syarikat.
Pada Jun lepas, Ilham Tower yang dikendalikan oleh kedua-dua syarikat itu, telah disita buat kali kedua oleh SPRM, berhubung siasatan ke atas penyalahgunaan dana awam bernilai RM2.3 bilion.
Sepanjang tempoh siasatan, SPRM berjaya dalam permohonannya untuk membekukan aset luar negara milik Na’imah, yang juga isteri kepada bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dan ahli keluarga mereka.
Keseluruhan nilai harta yang dibekukan ialah RM758.2 juta, merangkumi tujuh hartanah dan satu akaun bank.
Sementara itu, menurut permohonan afidavit Na’imah yang difailkan pada 7 September lepas, beliau menegaskan Rebecca tiada tiada kuasa dan hak sebagai setiausaha syarikat untuk mengemukakan Dokumen Bukan Akses Umum jika tidak dibenarkan oleh pihaknya.
Beliau berkata, tanggungjawab Rebecca dan kuasa yang dimiliki sebagai setiausaha syarikat adalah berasaskan kepada Akta Syarikat 2016, di mana tanggungjawab dan kuasa tersebut adalah kepada dan berasal daripada pengarah Plaintif-Plaintif.
Nizamuddin berkata, anak guamnya telah mengesahkan menerusi afidavitnya bahawa setiausaha syarikat telah diberikan perintah di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta SPRM, memaksa semua dokumen berkaitan kedua-dua syarikat itu dikemukakan.
Susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Nizamuddin menegaskan, sebarang pematuhan melulu terhadap perintah SPRM merupakan pelanggaran undang-undang, Akta Syarikat 2016 serta undang-undang yang ditetapkan.
Selain itu beliau berkata, mahkamah turut memerintahkan supaya kertas kausa diserahkan kepada SPRM untuk memberi peluang kepada plaintif untuk didengari di hadapan Mahkamah mengenai permohonan kedua-dua syarikat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami