Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dan membatalkan saman Pemula Parti Gerakan untuk memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azman Abdullah selain mengarahkan pihak plaintif membayar RM10,000 kepada kerajaan PAS Kelantan yang merupakan defendan.

Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati kes berkenaan adalah pramatang dan bersifat 'Ultra Vires' (melampaui bidang kuasa).

Katanya mahkamah memutuskan bahawa klausa tindakan pada 18 Mac belum lagi wujud semasa plaintif memfailkan notis usul ini dan ia seolah-olah 'put the cart before the horse' (menetapkan sesuatu sebelum masanya) dan bantahan awal defendan diterima.

Mahkamah juga menetapkan bahawa jika klausa tindakan enakmen wujud pada 18 Mac sekalipun, plaintif perlu mendapatkan kebenaran daripada Hakim Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 128.

Dalam proses penghakiman hari ini, kerajaan PAS Kelantan diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Shahidani Abdul Aziz manakala Parti Gerakan diwakili Peguam Bela, Andy Yong Kim Seng.

Parti Gerakan baru-baru ini memfailkan saman pemula di mahkamah tinggi bagi memohon deklarasi pembatalan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.




Saman pemula itu difailkan oleh tiga Ahli Gerakan Kelantan, Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee serta Chun Mon Sie melalui firma guaman, Tetuan NS Leong dan ST Low yang menamakan kerajaan PAS Kelantan sebagai defendan.

Dalam saman tersebut, mereka memohon pengisytiharan mengikut Artikel 76 dan 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) yang bakal diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Antara alasan dikemukakan plaintif bagi permohonan itu adalah DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang-undang.

Selain itu, EKanun Jenayah Syariah II 1993 adalah Ultra Vires, tidak sah serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.