TEMERLOH: Permohonan bekas duta dan anaknya yang menghadapi pertuduhan memiliki, menanam dan mengedar dadah jenis ganja untuk dibebaskan dengan ikat jamin ditolak Mahkamah Tinggi Temerloh, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Mat Noor membacakan keputusan mahkamah setelah mendengar hujah-hujah daripada peguam tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan pihak pendakwaan yang diketuai oleh Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Abdul Latif.

Sebelum itu, Roslan juga telah membentang hujah bertulis selama lebih 50 minit bagi menerangkan keputusan mahkamah yang menolak permohonan tersebut.

Jelasnya, mahkamah memutuskan tidak membenarkan ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh kerana ia membabitkan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Pada masa sama, Roslan menjelaskan, di bawah Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952, mana-mana tertuduh yang dituduh di bawah Seksyen 39B akta yang sama tidak boleh dijamin dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah menetapkan 27 Febuari depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Sebelum itu, tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya, Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53, memahami pertuduhan yang dibaca dan mengaku tidak bersalah selepas tiga kertas pertuduhan dibaca jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh telah didakwa memiliki dan menanam tumbuhan jenis ganja sejumlah 102 batang pokok dilakukan di Lot 5718, Jalan Sum Sum Hilir di Janda Baik, Bentong pada 21 Mei 2022, lebih kurang pukul 6.10 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan hendaklah dikenakan sekatan tidak kurang enam sebatan.

Sementara pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 989.6 gram di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua dituduh turut memiliki  Delta-9-Tetrahydrocannabinol (minyak ganja) seberat 58 mililiter dan telah didakwa di bawah Seksyen 9 (1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 9(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.