ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sejumlah RM8,920,800 bagi bantuan persekolahan 2024 kepada anak-anak golongan asnaf di seluruh Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, seramai 7,538 murid sekolah rendah dan 5,206 pelajar sekolah menengah akan menerima manfaat bantuan persekolahan itu.

Beliau berkata, setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan dalam bentuk pakaian sekolah dan alat tulis bernilai RM300 serta duit poket sebanyak RM100 yang akan disalurkan melalui pihak pengurusan sekolah.

"Bantuan sebanyak RM300 lagi diuruskan oleh pihak sekolah untuk meningkatkan aktiviti pelajar berkenaan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan persekolahan itu di Masjid Al-Falah Kolej Matrikulasi Perlis, di sini, pada Jumaat.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan itu.

Mohd Nazim berkata, MAIPs berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang membantu mengenal pasti anak-anak golongan asnaf berkelayakan menerima bantuan itu sekali gus memudahkan kerja pengagihan sumbangan itu kepada golongan memerlukan. - BERNAMA