MAIPs salur RM2.7 juta bantuan zakat menerusi 91 kayuhan sepanjang 2025

Kesemua kayuhan diketuai oleh Tuanku Syed Faizuddin dengan berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan bantuan secara langsung kepada penerima terpilih. - Gambar ihsan MAIPs
KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melaksanakan sebanyak 91 siri Kayuhan MAIPs Peduli sepanjang tahun 2025, dengan jumlah agihan zakat melebihi RM2.7 juta kepada golongan asnaf di seluruh negeri Perlis.
Program berbasikal ini memberi manfaat kepada 4,375 penerima daripada kalangan kurang berkemampuan.
Kesemua kayuhan diketuai oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang Dipertua MAIPs, dengan berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan bantuan secara langsung kepada penerima terpilih.
Kayuhan melibatkan kunjungan ke masjid, kampung dan sekolah di hampir seluruh pelusuk negeri, bertujuan mendekati serta memahami keperluan asnaf secara lebih menyeluruh.
Program ini turut mendapat kerjasama pelbagai jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, sejak diperkenalkan pada tahun 2013, Kayuhan MAIPs Peduli telah dilaksanakan sebanyak 1,069 kali, memberi manfaat kepada 49,800 penerima dengan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM32 juta.
Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang zakat dan semua pihak yang terlibat, serta berharap pelaksanaan program pada 2026 dapat diperkasa dengan pendekatan lebih berimpak dan holistik, selari dengan usaha berterusan membantu golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


