MAIS perkukuh penyelidikan hal ehwal Islam, lantik UIS rakan strategik

Penyerahan geran penyelidikan itu diadakan pada Majlis Perasmian Penutup Simposium Penyelidikan Islam Selangor 2025 yang disempurnakan Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini, hari ini. - Gambar MAIS
SHAH ALAM: Universiti Islam Selangor (UIS) dilantik sebagai panel penyelidik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang turut melibatkan penyaluran geran penyelidikan sebanyak RM120,000.
Ringkasan AI
- Universiti Islam Selangor (UIS) dilantik sebagai panel penyelidik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan geran penyelidikan RM120,000 untuk memperkukuh pengurusan penyelidikan agensi itu.
- MAIS telah menghasilkan 46 kajian berkaitan agama Islam di Selangor sejak 2019, termasuk kajian kebolehsana Baitulmal MAIS dan model insan Rabbani menurut Quran.
- Kajian penyelidikan oleh MAIS dan institusi pengajian tinggi lain seperti UM dan UTM melibatkan skop pengajian akidah, syariah, dan tadbir urus, serta hasilnya boleh diakses menerusi Jurnal Intifadah di laman sesawang rasmi MAIS.
Penyerahan geran penyelidikan itu diadakan pada Majlis Perasmian Penutup Simposium Penyelidikan Islam Selangor 2025 di sini hari ini yang disempurnakan Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini, hari ini.
MAIS memaklumkan pihaknya telah berjaya menghasilkan 46 kajian penyelidikan berkaitan hal ehwal agama Islam di Selangor sejak 2019, antaranya Kajian Pelaksanaan Ta'widh dan Gharamah dalam Konteks MAIS, Kajian Pembangunan Model Insan Rabbani Menurut Quran: Ke Arah Penyediaan Instrumen Pelan Strategik MAIS dan Kajian Kebolehsana Baitulmal MAIS sebagai Badan Akreditasi.
Menurut MAIS, kajian penyelidikan itu meliputi beberapa tumpuan utama kemaslahatan ummah yang melibatkan sosial dan ekonomi di Selangor dengan skop pengajian akidah, syariah, dakwah, perundangan keluarga serta tadbir urus dan muamalat.
"Melalui kajian yang dijalankan, MAIS menjadi pusat sehenti bagi melaksana dan menyelia setiap penyelidikan yang ingin dijalankan oleh Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS," menurut kenyataan itu.
MAIS memaklumkan kajian itu turut melibatkan kerjasama institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang dilantik, iaitu UIS, Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Multimedia Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
"Semua hasil kajian yang telah diterbitkan dikenali sebagai Jurnal Intifadah boleh dimuat turun melalui laman sesawang rasmi MAIS di www.mais.gov.my," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



