KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1 juta sebagai sumbangan misi bantuan banjir di Johor.

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menggerakkan konvoi MAIWP-Insani Misi Bantuan Banjir di negeri berkenaan selama tiga hari bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Beliau berkata, sumbangan turut melibatkan 600 unit sumbangan barangan keperluan dan peralatan pembersihan yang berjumlah RM250,000.

“Konvoi yang menyasarkan Batu Pahat serta Kluang sebagai lokasi pertama ini melibatkan sebanyak 23 buah kenderaan membawa peserta dan barangan sumbangan yang lain.

Bantuan Banjir | MAIWP salur sumbangan RM1 juta, misi banjir di Johor

“Selain penyerahan sumbangan, peserta terlibat akan membantu urusan kerja-kerja pembersihan di beberapa kawasan rumah mangsa banjir serta pemeriksaan kesihatan oleh kakitangan perubatan Hospital Pusrawi dan MAIWP Healthcare,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika acara pelepasan konvoi Misi Bantuan Banjir MAIWP-Insani ke Johor pada Jumaat.

Bantuan turut melibatkan pengagihan sebanyak 600 unit set peralatan persekolahan dan 1,000 unit barangan makanan dari Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, 1,000 unit barangan sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) serta 100 unit barangan sumbangan dari Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).

Menurut Mohd Na’im, misi banjir ke Johor tersebut adalah kerjasama antara MAIWP dan Yayasan Ezy Prihatin.

“Seramai 75 sukarelawan terlibat antaranya MAIWP, syarikat milik MAIWP, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukarelawan skuad cuci-cuci MAIWP dan Briged Muda MAIWP.

“Kita mengharapkan sumbangan kecil ini dapat membantu urusan menyelamat dan dapat meringakan beban mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.