IPOH: Majikan digesa memastikan keselamatan dan mengenal pasti bahaya di tempat kerja, membuat analisis dan kawalan risiko berkesan sebelum pekerja menjalankan tugas.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak Dr Rabaayah Daud berkata ia sebagai langkah mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

"JKKP Perak memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam dan akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ia berikutan kejadian melibatkan seorang pekerja lelaki berusia 20-an yang maut selepas lori dipandunya terjatuh ke dalam laut di Lumut Rabu lepas.

Rabaayah berkata JKKP Perak telah mengeluarkan arahan kepada majikan di Terminal Maritim Lumut mengambil tindakan penambahbaikan agar insiden tersebut tidak berulang.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan pemandu lori yang sedang bekerja pada syif malam dan ditugaskan menjalankan aktiviti kerja pemunggahan batu kapur.

"Lori yang dikendalikan mangsa telah menghampiri hujung dermaga dan terjatuh ke dalam laut.

"Operasi menyelamat telah dijalankan oleh agensi penyelamat dan mayat mangsa yang dijumpai tersepit di dalam lori telah dibawa keluar pada pukul 9.45 pagi dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau berkata kemalangan boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Sementara itu, Rabaayah berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu sehingga siasatan lanjut berhubung kejadian dua lelaki warga Bangladesh maut selepas tersepit dalam jengkaut yang terbalik di tapak kuari di Simpang Pulai di sini petang Rabu.

"Satu notis perbaikan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja pengoperasian jengkaut di kawasan kuari tersebut," katanya.

-- BERNAMA